May 31, 2012

Tiga beradik kahwin serentak, lakar sejarah keluarga

Dari kiri: Imaran Affendi, Nurul Shahrizan, Mohd Zamidi, Mastura Norashikin, Siti Suzana dan Ahmad Zaki gembira ketika majlis perkahwinan mereka yang dilangsungkan serentak.

UMBAI – Tiga beradik di sini mengambil keputusan melangsungkan perkahwinan serentak sebagai usaha menjimatkan kos perkahwinan.

Selain itu, perkahwinan serentak itu memudahkan saudara- mara berkumpul sempena cuti sekolah, sekali gus mencipta sejarah tersendiri apabila mereka sepakat bersanding serentak dengan pasangan masinng-masing.

Majlis resepsi diadakan di rumah ibu kepada tiga beradik berkenaan di Umbai, menyatukan Ahmad Zaki Bakri, 25, bersama pasangannya, Siti Suzana Muslihin, 24; Imaran Affandi Baki, 34, dan Nurul Shahrizan Shahabuddin, 30, serta Mastura Norashikin Baki, 27, dan Mohd Zamidi Muhtar, 27.

Ketiga-tiga pasangan pengantin itu diarak dengan penuh tradisi yang turut dihadiri lebih 2,000 tetamu terdiri dari saudara mara dan sahabat handai kesemua mempelai.

Ahmad Zaki berkata, idea bersanding serentak itu tercetus selepas mendapat pandangan daripada ahli keluarga yang bersetuju dengan cadangan melangsungkan perkahwinan serentak.

Menurutnya, cadangan itu turut menyebabkan majlis berkenaan mencatat sejarah yang sukar dilupakan buat mereka sekeluarga.

“Kita bersetuju mengadakan majlis ini serentak kerana dengan cara ini dapat menjimatkan masa dan perbelanjaan.

Selain itu, ia memudahkan banyak pihak terutama saudara mara untuk datang,” katanya yang merupakan Pegawai Malim Ketiga Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia (MISC).

Sementara itu, ibu tiga beradik berkenaan, Mazitah Md Ris gembira kerana majlis yang dirancang berjalan lancar.

"Cadangan melangsungkan perkahwinan serentak turut dipersetujui keluarga pihak perempuan," katanya.

Sinar Harian 31 Mei 2012

Tembak pemilik rumah sebelum samun keluarga

Mangsa dibawa disahkan mati beberapa jam selepas menerima rawatan.

BANDAR BENTONG – Tindakan nekad seorang pesara meninjau keadaan luar rumah selepas mendengar bunyi mencurigakan akhirnya membawa padah apabila dia maut ditembak penyamun di Lot 3613 Kampung Kemansur, dekat sini.

Ketika kejadian, mangsa, Wong Kum Chuan, 63, bersama isteri dan dua anak mereka sedang berehat di bilik masing-masing kira-kira jam 9.30 malam kelmarin.

Anak mangsa, Wong Kho Sean, 30, berkata, bapanya terdengar bunyi mencurigakan dari arah belakang lalu meninjau keadaan luar rumah berhampiran tempat letak kereta.

Menurutnya, pada awalnya dia menganggap tiada apa berlaku, namun tiba-tiba terdengar seperti ada pergelutan sebelum dikejutkan dengan bunyi tembakan dari luar rumah.

“Saya sempat melihat ayah dari arah belakang menerusi pintu terbuka dan dalam masa sama ternampak seorang lelaki memegang senjata seperti senapang.

“Ketika itu saya dapati ayah berlumuran darah kerana ditembak di bahagian perut kanan,” katanya kepada Sinar Harian.

Diarah serah barang berharga

SELEPAS mendengar bunyi tembakan, isteri mangsa dan anak perempuan berusia 22 tahun bertindak mendiamkan diri di dalam bilik masing-masing.

Namun detik cemas tidak berakhir di situ apabila suspek yang menutup muka menggunakan kain dan berpakaian celoreng kemudiannya meluru masuk ke dalam rumah  lalu menghalakan senapang ke arah Kho Sean dan memintanya menyerahkan barang berharga.

Kho Sean berkata, dia diarahkan suspek masuk ke dalam bilik bapanya untuk mencari barang berharga sebagaimana diminta.

Menurutnya, dia sempat menyerahkan dompet dianggarkan mengandungi RM4,000 kepada suspek kerana bimbang diapa-apakan.

“Kemudian suspek meminta saya masuk ke dalam bilik tidur dan berdiam diri di situ. Kesempatan itu diambil suspek untuk melarikan diri. Selepas memastikan keadaan selamat, saya terus menghubungi ambulans dan polis untuk memaklumkan mengenai kejadian,” katanya.

Mangsa meninggal di hospital

KETUA Polis Daerah, Superintendan Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 12.15 tengah malam di Hospital Bentong selepas beberapa jam menerima rawatan.

Menurutnya, mangsa, bersama isteri dan dua anak sedang berehat di bilik masing-masing sebelum dipercayai terdengar bunyi mencurigakan di luar rumah dan bertindak keluar melihat apa berlaku.

“Mangsa ternampak seorang lelaki tidak dikenali dalam keadaan memakai baju celoreng dan menutup keseluruhan bahagian muka.

“Berdasarkan siasatan, berlaku pergelutan sebelum suspek melepaskan satu das tembakan dipercayai menggunakan senapang patah,” katanya.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, pihaknya menjalankan siasatan terperinci termasuk menggunakan khidmat pasukan forensik dan unit anjing pengesan K-9.“Kedudukan rumah mangsa yang agak jauh daripada rumah penduduk lain dan berhampiran dengan hutan dipercayai punca ia menjadi sasaran penyamun.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi polis,”katanya.

Turut hadir ke tempat kejadian, Ketua Polis Negeri, Datuk Sharifuddin Abdul Ghani dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bilut, Datuk Hoh Khai Mun.

Simpati nasib mangsa

SHARIFUDDIN berkata, polis bersimpati berikutan kejadian itu dan akan menjalankan siasatan menyeluruh.

Menurutnya, berdasarkan maklumat, sebelum ini tiada kejadian mengancam nyawa atau jenayah berbahaya berlaku di kampung itu.

“Penduduk dinasihatkan tidak bimbang kerana polis akan menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian ini dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan,” katanya.

Sinar Harian 31 Mei 2012

Putri Mia Adriana cari penderma hati

Abdul Azeez (kiri) bersama Nurhashimah dan Nooridan menenangkan Mia yang menangis.

KUALA LUMPUR – Menatap matanya sahaja sudah dapat menyelami penderitaanditanggung, apatah lagi anak kecil berusia enam bulan itu belum petah berkata-kata untuk memberitahu setiap detik dia menahan kesakitan.

Putri Mia Adriana Mohd Nooridan menghidapi penyakit missed biliary atresia disebabkan hatinya tidak dapat berfungsi dengan baik akibat saluran hempedu tersumbat.

Ibunya, Nurhashimah Tasim, 27, berkata, ketika dilahirkan, anak kecil yang lebih mesra dengan panggilan Mia itu normal seperti bayi lain, namun, dia dan suami pelik apabila mata putih bayi mereka semakin kekuningan, perut makin membesar dan najisnya berwarna pucat.

“Ketika itu, usia Mia baru empat bulan.

Doktor mengesahkan hatinya tidak berfungsi dan dia memerlukan hati yang lain bagi menggantikan hatinya itu.

“Mia aktif, dia suka belajar benda baru seperti kanak-kanak lain, tetapi pergerakannya terbatas. Dia selalu ketawa, tetapi, ada masa tertentu dia menangis, mungkin sakit menyebabkan dia tidak selesa,” katanya.

Sebagai inisiatif mengubati Mia, Nurhashimah dan suami, Mohd Nooridan Mohd Samsudin, 29, meminta bantuan Kelab Putera 1Malaysia.

“Suami saya bekerja Pembantu Am di Pejabat Daerah Sepang, tidak cukup untuk kami membelanjakan wang banyak setiap bulan untuk tampung perubatanMia.

Jadi, kami ambil keputusanMia perlu dibedah dan hatinya digantikan hati yang baru.

“Kami yakin, kelab Putera 1Malaysia dapat bantu dan syukur kerana dapat bertemu Kelab Putera 1Malaysia,” katanya.

Presiden kelab itu, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, pihaknya menubuhkan Tabung Putri Mia Adriana Kelab Putera 1Malaysia dan berusaha mencari penderma hati sesuai dalam tempoh terdekat.

Sumbangan boleh dimasukkan ke akaun Maybank Nurhashimah, 162107039647.

Sinar Harian 31 Mei 2012

Nampak pelesit atas siling

Imej yang dirakamkan sebelum ia hilang.

KULIM - Seorang tukang kayu yang sedang membaik pulih siling asrama sebuah sekolah di sini, terkejut apabila ternampak satu lembaga di atas siling.

Dia yang tidak mahu dikenali berkata, dia segera merakamkan imej lembaga itu yang ketika itu berdiri dan memerhatikannya.

Dia kemudiannya memaklumkan kepada Sinar Harian berkenaan kejadian terbabit.

Menurutnya, ketika gambar itu diambil, lembaga misteri berukuran 15 sentimeter tinggi itu seakan-akan sedang bergayut.

“Apabila imejnya sekali lagi cuba dirakamkan ia terbang dan hilang,” katanya.

Imej itu kemudiannya ditunjukkan kepada seorang pengamal perubatan tradisional.

Pengamal perubatan itu berkata, lembaga itu adalah pelesit yang tinggal di atas bumbung asrama terbabit.

Menurutnya, pelesit digunakan sebagai alat perantaraan dan boleh dijadikan orang suruhan serta sering digunakan oleh pengamal perubatan yang mengamalkan ilmu sihir.

“Pelesit ini mempunyai keluarganya sendiri. Kadang-kadang ia bertiga dan adakalanya ia hidup berlima.

“Pelesit juga mempunyai ibu bapa seperti kita. Mereka ini akan menjadi orang suruhan atau orang perantaraan bagi mana-mana pengamal ilmu sihir,” katanya.

Menurutnya, ia juga boleh mengakibatkan seseorang hilang ingatan seperti terkena histeria.

“Secara umum, pelesit bukanlah satu makhluk yang baik dan boleh dijadikan pendamping.

Makhluk seperti ini mampu menyesatkan akidah orang ramai,” katanya.

Sinar Harian 31 Mei 2012

Murid tahun tiga maut kena renjatan elektrik

Har Cheow (dua, kanan) menunjukkan lokasi kejadian, semalam. Gambar kecil: Mariam

MELAKA - Seorang murid perempuan berusia sembilan tahun maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika bermain dalam takungan air di bawah tiang elektrik di hadapan rumahnya di Kampung Gedung Lalang, Bukit Rambai di sini hari ini.
 
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, mangsa Mariam Najwa Massari, murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Rambai itu sedang bermain dengan adiknya Muiz Asyraf, 3, di takungan air tersebut kira-kira 20 meter dari rumahnya sebelum rebah dan tidak sedarkan diri.
 
Bapa mangsa Massari Muhammad, 35, berkata dia hanya mengetahui kejadian itu apabila dimaklumkan oleh jiran yang melihat anaknya terbaring di takungan air tersebut.
 
Katanya ketika kejadian dia berada dalam rumah manakala isterinya Norazlin Azmi, 32, membawa anak kelima mereka berjumpa doktor kerana tidak sihat.
 
Beliau berkata Muiz kemudiannya masuk ke rumah dan mengadu sakit kaki.
 
"Saya ingat Muiz digigit serangga lalu menyapu ubat di kakinya dan pada masa sama saya memanggil nama Mariam namun tidak bersahut," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan bilik mayat Hospital Melaka di sini, hari ini.
 
Massari berkata dia bergegas ke tempat kejadian apabila dimaklumkan jiran tentang keadaan anak keempatnya daripada enam beradik itu dan cuba mengangkatnya namun tidak berdaya disebabkan aliran arus elektrik yang turut dirasainya.
 
Beliau berkata setelah berjaya mengangkat Mariam keluar dari takungan air tersebut, dia membawa anaknya ke Klinik Kesihatan Bukit Rambai untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia.
 
"Tukang masak di sebuah hotel di bandar raya ini turut melahirkan rasa kesal atas kejadian yang menimpa anaknya itu dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang jika punca kematian akibat renjatan elektrik yang terhasil daripada tiang elektrik berkenaan.
 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Salehhudin Abd Rahman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.- Bernama

Sinar Harian 31 Mei 2012


Lembik disambar karan



BERTAKUNG...Md Afizi menunjukkan tempat mangsa ditemui.


PILU...Massari ditenangkan ahli keluarga selepas keluar dari bilik mayat Hospital Melaka, semalam.

MELAKA: “Melihat tubuhnya lembik dengan air liur meleleh, saya mengerah kudrat mengangkatnya keluar dari situ (takungan air) biarpun pada awalnya saya juga tidak bermaya kerana turut disambar renjatan (elektrik) sebelum memangkunya di atas jalan.”

Begitu cerita Massari Muhammad, 35, bapa Mariam Najwa, 9, yang meninggal dunia dipercayai terkena renjatan elektrik ketika bermain dalam takungan air berhampiran tiang elektrik kira-kira 20 meter di depan rumahnya.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari semalam di Kampung Gedung Lalang, Bukit Rambai, murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Rambai berkenaan bersama adiknya, Muiz Asyraf, 3, bermain di tempat air bertakung itu sebelum rebah dipercayai terkena renjatan elektrik.

Massari berkata, dia mengetahui insiden malang menimpa anak perempuan tunggalnya itu selepas dimaklumkan jiran yang melihat anaknya terbaring dalam air.

Katanya, sebelum itu dia berada di dalam rumah didatangi Muiz yang berlari mengadu sakit kaki sebelum menyapu ubat di kakinya.

myMetro 31 Mei 2012


Terasa getaran ketika cuba selamat mangsa

MELAKA: “Sebaik ternampak dua beradik itu bermain dekat tiang elektrik yang ditakungi air ketika hendak keluar mengambil perut ayam di Bukit Rambai, saya menyuruh mereka pulang. Namun, selang kira-kira lima minit kemudian sejurus pulang semula saya ternampak mangsa terlentang dan tidak bergerak.

“Saya mendapatkannya untuk membantu, namun apabila pijak air bertakung itu, saya terasa getaran pada kaki,” kata Md Afizi Senin, 40, mengenai kejadian seorang kanak-kanak perempuan, Mariam Najwa Massari, 9, yang meninggal dunia selepas dipercayai terkena renjatan elektrik di Kampung Gedung Lalang 1, Bukit Rambai, di sini, semalam.

Menurut Md Afizi, ketika itu dia nampak muka kanak-kanak terbabit sudah biru.

Katanya, sebaik gagal melangkah masuk dalam air yang bertakung itu, dia memanggil bapa mangsa di rumahnya tidak jauh dari tempat kejadian.

“Bapa mangsa bergegas keluar dan ketika memeluk anaknya, dia turut rebah, tetapi terus menariknya ke tepi,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, jiran, Safree Mahat, 33, berkata, dia yang berehat di rumah terkejut selepas diberitahu mengenai kejadian itu oleh anak lelakinya, Shahrul Aiman, 11.

Menurutnya, ketika bergegas keluar, dia melihat bapa mangsa memeluknya sambil meminta bantuan menghubungi ambulans.

“Melihatkan keadaan kanak-kanak terbabit, saya dan beberapa orang mengangkatnya masuk ke dalam kereta saya sebelum ke Klinik Kesihatan Desa Bukit Rambai.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di bilik kecemasan klinik terbabit doktor mengesahkan kanak-kanak itu sudah meninggal dunia memandangkan matanya sudah membengkak manakala perjalanan darahnya pada urat saraf terhenti,” katanya.

Difahamkan, mangsa yang juga anak ke-empat dari lima beradik adalah satu-satunya anak perempuan dalam keluarga berkenaan.

myMetro 31 Mei 2012



Bapa mahu saman
         
MELAKA: Bapa kanak-kanak yang maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika bermain dalam takungan air di depan rumahnya di Kampung Gedung Lalang, Bukit Rambai, dekat sini, kelmarin, bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkaitan.

Massari Muhammad, 35, berkata, tindakan itu dibuat selepas hasil laporan bedah siasat terhadap jenazah anak keempatnya, Mariam Najwa, 8, mendapati mangsa maut akibat kejutan elektrik.

Menurutnya, tindakan itu sebagai pengajaran kepada pihak terbabit yang didakwa cuai menyebabkan satu-satunya anak perempuannya maut.

“Laporan bedah siasat di Hospital Melaka petang semalam (kelmarin) menyatakan Mariam maut akibat kejutan elektrik.

“Saya akan melantik peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak bertanggungjawab sejurus selepas semua perkara berhubung insiden itu selesai,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, dia kesal dengan kecuaian pihak terbabit hingga meragut nyawa anak perempuan tunggalnya.

Menurutnya, dia dimaklumkan jiran bahawa pihak bertanggungjawab datang ke lokasi sejurus selepas insiden bagi menggantikan kabel elektrik pada tiang berkenaan.

“Saya tidak tahu kenapa mereka segera menggantikan kabel pada tiang itu, malah pagi tadi (semalam) saya dimaklumkan isteri, pegawai syarikat itu berkunjung ke rumah kami.

“Namun, saya kesal apabila dimaklumkan mereka seolah-olah menafikan kemalangan itu berpunca akibat kesilapan dan kecuaian mereka,” katanya.

Massari berkata, anak ketiganya, Muiz Asyraf, 3, yang nyaris menjadi mangsa kini masih trauma apabila melihat lopak air dan takut ke lokasi yang meragut nyawa kakaknya.

myMetro 1 Jun 2012



Kabel talian bocor
         
MELAKA: Kebocoran arus elektrik mungkin menjadi punca berlaku kemalangan maut mengakibatkan kematian seorang kanak-kanak perempuan ketika bermain dalam takungan air berhampiran tiang elektrik di depan rumahnya di Kampung Gedung Lalang, Bukit Rambai, dekat sini, kelmarin.

Pengarah Penguatkuasaan dan Penyelarasan Kawasan, Suruhanjaya Tenaga, Othman Omar berkata, siasatan awal mendapati kebocoran itu berpunca akibat kerosakan kabel talian atas.

“Siasatan awal mendapati kerosakan kabel talian atas menyebabkan kebocoran arus melalui tiang elektrik sebagai punca kemalangan maut di Kampung Gedung Lalang, Bukit Rambai, semalam (kelmarin).

“Tenaga Nasional Berhad (TNB) sudah mematikan bekalan elektrik ke tiang berkenaan serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

myMetro 1 Jun 2012



Periksa tiang elektrik secara berkala

KUALA LUMPUR: Syarikat bekalan elektrik dan pihak berkuasa tempatan (PBT) diingatkan supaya melakukan pemeriksaan serta penyelenggaraan secara berkala ke atas tiang utiliti elektrik yang dipasang di seluruh negara bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, perkara itu tidak boleh dipandang sambil lewa sebaliknya perlu sentiasa diberi perhatian kerana sedikit kecuaian boleh mendatangkan kecelakaan kepada pihak lain.

“Jika tiada penyelenggaraan pada tempoh tertentu dan pemeriksaan sewajarnya bagaimana kita nak pastikan bekalan elektrik yang disalur menerusi tiang utiliti ini tidak mengalir keluar akibat bocor di bahagian tertentu” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

myMetro 1 Jun 2012


Kenderaan terbabas masuk longkang

Kenderaan pacuan empat roda yang dipandu Ali terbalik akibat jalan licin dalam satu kemalangan, kelmarin.

KUALA LIPIS - Seorang pemuda nyaris maut apabila kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terbabas sebelum terbalik dalam satu kemalangan berhampiran Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan, Lipis, kira-kira jam 8.30 pagi kelmarin.

Mangsa, Ali Husin, 33, berkata, ketika kejadian, dia sedang memandu berseorangan dari arah Padang Tengku menuju ke Kuala Lipis.

“Ketika itu, hujan renyai-renyai. Apabila sampai di tempat kejadian, kereta saya hilang kawalan akibat jalan licin dan terbabas ke kanan jalan,” katanya, di sini, kelmarin.

Ali berkata, kenderaan terbabit seterusnya berpusing dan terbalik ke dalam longkang.

Walaupun kenderaan yang saya pandu mengalami kerosakan teruk namun saya tidak mengalami kecederaan.

“Saya bersyukur kerana tidak cedera. Selepas ini, saya akan lebih berhati-hati memandu terutama ketika hujan,” katanya kepada Sinar Harian.

Sinar Harian 31 Mei 2012

Guru lelaki maut dalam nahas

Keadaan kereta Toyota yang dinaiki mangsa remuk teruk akibat berlanggar dengan sebuah lori

KUALA LIPIS - Seorang guru lelaki maut apabila kereta yang dinaikinya bertembung dengan sebuah lori muatan tilam dalam kemalangan di kilometer 22 jalan Lipis Merapoh berhampiran Ladang Selborne kira-kira jam 2.20 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, ketika kejadian, mangsa, Imran Che Omar, 51, bersama ahli keluarganya sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Kota Bharu.

Menurutnya, sampai di tempat kejadian, kereta yang dipandu anak mangsa, Mohd Farhan Imran, 23, hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan.

“Kereta jenis Toyota Innova berwarna hitam yang dipandu Mohd Farhan dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

“Dalam masa sama, sebuah lori muatan tilam yang dipandu seorang lelaki bersama seorang kelindan yang datang dari arah Kota Bharu menuju ke Kuala Lumpur tidak sempat mengelak kereta berkenaan lalu bertembung,” katanya, di sini, semalam.

Abdul Razak berkata, akibat pertembungan tersebut, mangsa yang duduk di bahagian sebelah pemandu tersepit di tempat duduk.

“Mangsa yang bekerja sebagai seorang guru di Sekolah Kebangsaan Tegayong, Kota Bharu maut serta merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan dalaman.

“Selain itu, isteri mangsa, Filzah Mohd Salleh, 47, yang duduk di bahagian penumpang belakang kereta turut mengalami kecederaan patah tangan kiri,” katanya.

Abdul Razak berkata, Mohd Farhan yang juga guru pelatih di Institut Pendidikan Guru, Kampung Kota Bharu, Kelantan bersama dua adiknya, Mohd Afif, 18, dan Mohd Amar, 16, hanya mengalami kecederaan ringan.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Lipis untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

“Isteri bersama tiga anak mangsa menerima rawatan di Hospital Lipis. “Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan saksi kejadian diminta berhubung dengan Sub Inspektor Abdul Rahman Yunan di talian 09-3122222 untuk membantu siasatan,” katanya.

Sinar Harian 31 Mei 2012

24 hektar sawah kering

Kesan petak sawah yang merekah sehingga anak padi yang baru tumbuh hampir mati disebabkan kekurangan air.

KERIAN - Ketiadaan bekalan air mencukupi didakwa menjadi faktor hampir 24 hektar tapak sawah di tiga kawasan termasuk Parit Gabis Bawah, Teluk Seribu 2 dan Parit Ali Kalang, di sini kering kontang sejak hampir sebulan lalu.

Pengerusi Sekretariat Parlimen Bagan Serai, Jamaluddin Hamid berkata, semua lokasi itu terjejas teruk disebabkan air yang sepatutnya disalurkan melalui longkang atau palung kini tidak mempunyai bekalan air mencukupi.

Menurutnya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) ada membekalkan pam, namun ia tidak dapat digunakan akibat mengalami kebocoran.

“Kesannya anak padi yang berumur satu bulan hampir mati kerana tidak mendapat bekalan air mencukupi.

“Saya berharap JPS dan Jabatan Pertanian segera membuat lawatan untuk melihat sendiri keadaan sawah di kawasan ini,” katanya.

Sinar Harian dimaklumkan, keadaan kekurangan bekalan air itu berlaku berpunca daripada perusahaan ternakan ikan di kawasan berhampiran.

Difahamkan, hampir 320 hektar tapak yang dahulunya diusahakan sebagai sawah padi ditukar menjadi kolam ternakan ikan.

Jamaluddin berkata, pengusaha ternakan ikan mengambil air dari tali air untuk disalurkan ke kolam ternakan.

“Setiap satu lot yang mempunyai 40 ke 50 kolam menggunakan empat atau lima batang paip berukuran enam inci yang sentiasa masuk dan di buang ke sungai setiap masa,” katanya.

Sementara itu, seorang petani Razman Hassan, 35, berkata, dia merupakan antara petani yang mempunyai masalah bekalan air sehingga petak sawahnya kini berada dalam keadaan kekeringan termasuk tanah yang sudah merekah.

“Jika hal ini berterusan kita cuma menunggu masa sahaja untuk menukarkan tanaman padi kepada tanaman kelapa sawit kerana itu sahaja jalan keluar yang ada disebabkan petani tidak mahu terus menerus menanggung kerugian berpanjangan,” katanya.

Sinar Harian 30 Mei 2012

'Kak, Lan pergi dulu ya!'

Mangsa maut selepas merempuh belakang sebuah kenderaan.

ALOR GAJAH - Ayat terakhir, “Kak, Lan pergi dulu ya!,” menjadi petanda buat seorang kakak sebelum kehilangan adik bongsunya yang terlibat dalam nahas di Kilometer 221.9 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan, tengah malam semalam.

Kakak mangsa, Sunita Aman, 28, berkata, dia yang tidak sedap hati tergerak menghantar adiknya, Muhamat Roslan Aman, 26, hingga ke pintu pagar rumah pada petang Isnin lalu selepas adiknya bersungguh-sungguh mahu berjumpa rakan untuk menunjukkan motosikal Kawasaki Ninja150 yang baru dibeli secara tunai.

“Pada petang itu, saya hantar arwah hingga ke pagar halaman rumah dan kebiasaan arwah akan berkata “Lan keluar dulu ya kak” tetapi petang itu arwah berkata “Kak, Lan pergi dulu ya,” lantas membuatkan saya rasa tidak sedap hati dan tergerak untuk menatap wajahnya sebelum dia keluar,” katanya.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, mangsa dari arah Kuala Lumpur dalam perjalanan pulang ke rumah kakaknya di Kampung Pasir Putih, Melaka dikatakan hilang kawalan sebelum merempuh belakang sebuah kenderaan.

Sunita berkata, arwah adiknya tinggal bersamanya sejak tiga bulan lalu dan bekerja sendiri mengikut rakan.

Menurutnya, adiknya tidak pernah berkasar dengan adik beradik lain. "Arwah juga seorang yang baik hati dan sayang pada dua anaknya.

“Sebelum ini arwah pernah mengalami kerosakan motosikal di lokasi sama, namun tidak sangka akan menemui ajal di situ,” katanya. Katanya, lebih pelik apabila arwah adiknya itu tiba-tiba memberikan hadiah hari lahir buat suaminya, Nurazad Abd Rahim, 29, enam bulan lebih awal berupa seutas tali pinggang berjenama dua hari sebelum kejadian.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Abd Rahman Jid mengesahkan kemalangan maut berkenaan.

“Orang awam dan pengguna jalan raya yang mempunyai maklumat kejadian diminta hubungi Cawangan Trafik Daerah Alor Gajah menerusi talian 06-5563222 untuk membantu siasatan.

“Mayat mangsa dihantar ke bilik mayat Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sinar Harian 31 Mei 2012

Keriangan bertukar tragedi

Nahar (tiga, kiri) mengangkat jenazah anaknya sebelum dibawa pulang untuk dikebumikan.

KUALA KUBU BHARU - Keriangan dua beradik bersama rakannya menghabiskan cuti sekolah dengan bermandi di sungai belakang rumahnya bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka lemas.

Anak sulung daripada lapan beradik, Mohamad Baihaqi Mohamad Sahiful Nahar, 15, ditemui lemas di lubuk Sungai Dusun, Felda Soeharto dekat sini selepas sejam keluar bersama adiknya ke sungai itu petang kelmarin.

Ayah mangsa, Mohamad Sahiful Nahar Damyati, 43, berkata, anak sulung dan anak keduanya ada meminta izin untuk keluar mandi di sungai berkenaan kira-kira jam 4.30 petang dan sejam kemudian jirannya memberitahu anaknya lemas dan dibawa penduduk kampung ke klinik.

“Ketika sedang menjahit, jiran memberitahu anak saya lemas dan dihantar ke klinik.

“Mulanya saya tak tahu siapa, bila tiba di klinik saya lihat anak sulung saya sudah tiada,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) malam kelmarin.

Menurutnya, Mohamad Baihaqi yang bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sering mandi di sungai berkenaan ketika cuti sekolah.

"Mohamad Sahiful Nahar yang reda dengan pemergian anaknya menganggap kejadian itu adalah takdir ALLAH. Katanya, ketika kejadian arwah anaknya dikatakan mandi di kawasan lubuk sungai dan lemas di situ.

“Anak kedua saya memberitahu pada mulanya dia dan arwah abangnya hanya mandi di tepi sungai tetapi arwah berenang ke kawasan lubuk.

“Di situ, arwah dilihat tenggelam timbul sebelum hilang,” katanya.

Jelasnya, adik arwah yang tidak dapat menyelamatkan abangnya segera meminta tolong daripada penduduk kampung sebelum dibawa ke klinik.

Tambahnya, ketika tiba di klinik pegawai perubatan memberitahu anaknya telah meninggal dunia.

Jenazah Mohamad Baihaqi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Soeharto malam kelmarin

Sinar Harian 31 Mei 2012


Abang masuk lubuk pusar

KUALA KUBU BHARU: “Saya hanya mampu melihat abang tenggelam dan timbul tanpa mampu memberi pertolongan,” kata Mohamad Fakhrurazi Mohamad Sahiful Nahar, 11, menceritakan detik cemas melihat abang sulungnya, Mohamad Baihaqi, 15, lemas ketika mandi di Sungai Dusun pada jam 5 petang kelmarin.

Ketika kejadian, dia bersama abang dan dua rakan lain berumur 12 dan 16 tahun buat pertama kali mandi di sungai itu yang terletak 500 meter dari rumahnya di Jalan Pam Air, Kampung Soeharto, di sini.

Katanya, pada mulanya mereka mula mandi di kawasan yang cetek kerana belum mengetahui keadaan air walaupun air sungai kelihatan jernih.

“Arwah abang memberanikan diri berenang ke kawasan lebih dalam di lubuk pusar berseorangan. Saya cuba melarangnya, tetapi tetap berdegil.

“Saya sedih kerana tidak mampu menyelamatkan arwah abang,” katanya.

Menurutnya, dua rakannya segera memaklumkan kejadian berlaku kepada penduduk kampung bagi mendapatkan pertolongan.

Mohamad Fakhrurazi berkata, dia amat sedih melihat abangnya terbujur kaku apabila diangkat ke tebing sungai itu.

“Saya tidak menyangka kepulangan abang ke kampung dari asrama Sekolah Menengah Agama Simpang Lima, Sabak Bernam untuk menghabiskan cuti selama dua minggu berakhir dengan tragedi amat memilukan ini.

“Arwah adalah seorang abang yang amat bertanggungjawab dan mesra melayani adik beradik lain dalam keluarga,” katanya.

Katanya, arwah abangnya dibawa ke Klinik Kesihatan Kampung Soeharto oleh penduduk kampung bagi mendapatkan rawatan susulan.

Sementara itu, ayahnya, Mohamad Sahiful Nahar Dimyati, 43, berkata, ketika kejadian, dia sedang menjahit pakaian di kedai pakaian terpakai berhampiran rumahnya.

Katanya, dia pasrah dan reda dengan dugaan Allah apabila mendapati anak sulung daripada lapan beradik itu sudah meninggal dunia.

“Selepas tiba di klinik berkenaan, saya hanya mampu berdoa kerana anak sudah tiada. Jenazahnya dituntut di Bilik Mayat, Hospital Kuala Kubu Bharu pada jam 9 malam kelmarin untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Soeharto pada hari sama.

“Saya berterima kasih kepada penduduk kampung yang membantu menyelesaikan urusan pengkebumian arwah anak saya,” katanya.

myMetro 31 Mei 2012

Lelaki warga Afrika mati dibelasah


SUNGAI BULOH: Seorang lelaki warga Afrika mati dengan kedua-dua tangan diikat dipercayai dibelasah teruk oleh sekumpulan penduduk di Saujana Damansara, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, mangsa yang identitinya tidak dikenali ditemui dalam keadaan tidak bermaya di kawasan perumahan sebelum disahkan mati sebaik tiba di Balai Polis Damansara Damai.

Difahamkan, mangsa dibelasah sekumpulan individu di sekitar restoran di Damansara Damai sebelum kedua-dua tangannya diikat dengan tali pinggang.

Mangsa dikatakan berlari dalam keadaan cedera parah hampir 300 meter apabila dikejar penduduk berkenaan sebelum ditemui sepasukan anggota polis dalam keadaan lemah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Meor Hamdan Meor Mohamad ketika mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa disahkan mati sebaik tiba di Balai Polis Damansara Damai akibat kecederaan yang dialami.

“Siasatan awal polis mendapati berlaku pergelutan berdekatan kawasan restoran di Damansara Damai berdasarkan kesan darah.

“Bagaimanapun, polis tidak menolak kemungkinan mangsa dikejar kumpulan penduduk sehingga lelaki itu ditemui di kawasan perumahan di Saujana Damansara iaitu 300 meter dari lokasi pergaduhan,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Meor Hamdan berkata, siasatan terperinci sedang dilakukan bagi mengenal pasti punca kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk bedah siasat dan polis akan melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

Berita Harian 31 Mei 2012

Berbalas bunuh


SUBANG JAYA: Tujuh lelaki ahli kumpulan kongsi gelap Geng 08 dan Geng Satu Hati diburu selepas dipercayai terbabit dalam dua kes bunuh sesama mereka, pertengahan bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, suspek dicari ialah Logeswaran Nagapan atau dikenali sebagai Korangati, 25, dari Kampung Pandan, Kuala Lumpur; Manoharan Karnanidi atau Serdang Mano, 35, dari Kampung Bunga Melor, Puchong; Surendran Shanmugam atau Bai Suren, 27, dari Taman Puchong Utama; Kumar Manickam atau Kutti, 30, dari Taman Puchong Intan.

Turut dikehendaki Suresh Velu atau Ame, 25, dari Taman Putra Perdana, Dengkil; Surendran Raja atau OCPD, 26, dari Taman Puchong Perdana dan Srisangkar Rajandran atau Cella, 25, dari Taman Puchong Perdana.

Menurutnya, dalam kes pertama, seorang ahli Geng Satu Hati diserang empat ahli Geng 08 ketika dalam perjalanan ke sebuah restoran di Taman Maju Jaya, Puchong, pada 12 Mei lalu.

Katanya, kejadian berlaku jam 11.30 malam apabila Rajkumar Rajendran, 19, bersama dua lagi rakan menaiki kereta ke restoran itu dari rumah mereka di Puchong Perdana.

“Kira-kira 100 meter dari restoran, kereta mereka dipintas satu kereta lain sebelum empat lelaki berparang keluar dan menyerang mangsa.

“Mangsa ditetak di muka serta leher sebelum ditinggalkan berlumuran darah,” kata pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, di sini, semalam.

Yahaya berkata, dua rakan Rajkumar yang datang mencarinya menemui mangsa dan membawanya ke Hospital Serdang (HS) untuk rawatan, namun disahkan sudah meninggal dunia.

“Tiga jam selepas kejadian itu, seorang ahli Geng 08 yang menyerang dan menetak Rajkumar pula ditemui mati dibunuh sebelum mayatnya dicampak ke dalam lombong berhampiran kondominium Vista Millenium di Puchong Perdana.

“Mayat Vinod Chandran, 25, ditemui dalam lombong itu oleh seorang pemancing pada jam 4.20 petang,” katanya.

Beliau berkata, polis menahan seorang ahli Geng Satu Hati dan dua ahli Geng 08 berusia 20-an beberapa jam selepas penemuan mayat Vinod.

“Kami berharap orang awam yang mempunyai maklumat mengenai suspek terbabit tampil di balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.

myMetro 31 Mei 2012

Padah renungan


KUALA LUMPUR: Hanya kerana merenung, seorang lelaki dan rakan wanitanya dibelasah sehingga lembik sekumpulan individu tidak dikenali dalam kejadian di sebuah siber kafe di Wangsa Maju, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, mangsa berusia 23 tahun bersama rakan wanitanya, 23, singgah di kafe itu mencetak beberapa dokumen.

Menurut sumber, selang beberapa minit, dia berasa seolah-olah dirinya diperhatikan sebelum menoleh ke arah seorang lelaki yang berhampirannya.

“Lebih pelik lelaki itu memandang secara sinis seolah-olah tidak berpuas hati dengannya menyebabkan dia memberanikan diri menegur lelaki itu dan meminta penjelasan mengenai tindakannya itu.

“Bagaimanapun, lelaki itu memberitahu mangsa hanya salah faham sebelum mereka berdua berjabat tangan dan lelaki itu beredar,” katanya.

Sumber berkata, sangkaan mangsa kejadian terbabit selesai ternyata meleset apabila lelaki berkenaan datang semula bersama rakannya dan menyerangnya.

“Kejadian terbabit berlaku terlalu pantas dan mangsa tidak sempat melawan menyebabkan dia dibelasah. Malah rakan wanitanya yang ingin membantu menerima tempias apabila dipukul kumpulan terbabit.

“Selepas beberapa minit dipukul, orang awam yang menyaksikan pergaduhan terbabit menyuraikannya,” katanya.

Rakan wanita mangsa menghantar mangsa ke klinik berhampiran sebelum mereka membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan mengesahkan menerima laporan dan siasatan sedang dijalankan.

myMetro 31 Mei 2012

RM80,000 lesap


PETALING JAYA: Dua wanita hanya mampu menjerit selepas beberapa minit bergelut dengan dua lelaki dalam satu kejadian samun di pusat beli-belah terkenal di Mutiara Damansara, di sini.

Namun, tindakan mereka menjerit tidak berhasil apabila kedua-dua lelaki terbabit melarikan satu beg galas berisi wang tunai RM80,000.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Meor Hamdan Meor Mohamed berkata, dalam kejadian yang berlaku Isnin lalu, dua wanita terbabit yang bekerja di sebuah kedai di tingkat dua pusat beli-belah berkenaan keluar dari kedai menuju ke lif untuk ke bank yang terletak di tingkat bawah.

“Namun, ketika menunggu lif jam 10.40 pagi, mereka didatangi dua lelaki yang menarik beg galas berisi RM80,000 itu.

“Berlaku pergelutan menyebabkan seorang suspek menolak mangsa yang memegang beg galas itu sehingga mangsa terjatuh. Seorang lagi rakan sekerjanya menjerit meminta bantuan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Malangnya, ketika itu pusat beli-belah berkenaan baru mula beroperasi dan ramai peniaga belum memulakan perniagaan dan tiada individu menyedari insiden itu.

Menurutnya, seorang lagi suspek menolak mangsa yang menjerit itu menyebabkan kedua-duanya terjatuh.

Meor berkata, pihaknya yang menerima laporan mengenai kejadian itu bergegas ke tempat kejadian untuk siasatan lanjut.

“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian mendapati ada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang merakam insiden itu. Polis menghantar rakaman berkenaan kepada Unit Forensik mengenal pasti imej penjenayah terbabit,” katanya.

Katanya, polis merakam keterangan mangsa dan memberitahu kedua-dua suspek tidak bersenjata dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, pihaknya merakam keterangan beberapa individu bagi membantu siasatan kes seorang pereka aplikasi telefon pintar yang melepaskan diri dalam kejadian samun dan cubaan culik di tempat letak kereta pusat beli-belah yang sama, Ahad lalu.

Beliau berkata, rakaman CCTV di tempat kejadian dihantar kepada Unit Forensik bagi mengenal pasti suspek dan mangsa berusia 20-an itu tampil membantu polis membuat lakaran suspek.

Harian Metro semalam melaporkan satu kenyataan di laman sosial, facebook yang dikeluarkan wanita berusia 20-an itu, dia menyatakan rasa bersyukur kerana melepaskan diri walaupun berdepan dua lelaki bersenjatakan pisau dalam kejadian jam 5.30 petang itu.

Mangsa yang dikenali sebagai Chin berkata, dia yang baru selesai membeli-belah seorang diri meletakkan barangan dibelinya dalam kereta milik teman lelakinya apabila tiba-tiba didatangi seorang lelaki meletakkan pisau di leher dan menutup mulutnya.

myMetro 31 Mei 2012

Latih budak kebas susu


IPOH: Dua wanita dikesan memperalatkan dua kanak-kanak masing-masing berusia empat dan sembilan tahun sebagai ‘toyol cilik’ yang ditugaskan menyelinap dan mencuri tin susu tepung bayi berjenama mahal di beberapa pasar raya sekitar bandar raya ini.

Kanak-kanak terbabit dipercayai dilatih khas mencuri susu tepung sebelum disorokkan ke dalam beg khas dibekalkan kepada mereka.

Dalam kes terbaru jam 3 petang semalam, seorang wanita tempatan berusia 40-an bersama anak perempuannya berusia sembilan tahun diberkas seorang pemilik pasar raya di Gunung Rapat, di sini, selepas didapati cuba melarikan beberapa tin susu bayi.

Suspek didakwa tidak menyedari gerak-geri mereka dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sebelum kedua-duanya ditahan ketika mahu keluar dari premis.

Pemilik pasar raya, Lee Min Chin, 45, berkata, pasangan ibu dan anak itu dilihat memasuki kedai dengan berpura-pura ingin membeli barang keperluan harian.

Menurutnya, kakak-kanak perempuan itu bagaimanapun meninggalkan ibunya sebelum menuju ke rak susu tepung bayi beberapa minit kemudian.

“Rakaman CCTV kemudian menunjukkan suspek kanak-kanak itu mengambil kotak susu bayi sebelum memasukkan ke dalam beg galas dibawa bersamanya.

“Mereka kemudian cuba beredar sebelum ditahan untuk pemeriksaan. Hasil pemeriksaan mendapati mereka cuba mencuri dua kotak susu tepung bayi yang berharga RM150,” katanya.

Menurutnya, wanita yang disoal siasat itu berlakon kononnya tidak tahu menahu anaknya itu mencuri di dalam pasar raya berkenaan dan berpura-pura memarahi kanak-kanak perempuan itu.

“Pada masa sama, seorang lagi perempuan berusia 40-an muncul bersama seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia empat tahun sebelum merayu saya melepaskan suspek yang ditahan sebelum itu.

“Atas dasar simpati, saya melepaskan mereka selepas memberi amaran keras supaya tidak melakukan jenayah itu lagi,” katanya.

Sementara seorang lagi peniaga, Wong Xi Lin, 45, berkata, dua kanak-kanak tempatan itu turut pernah ditahan ketika cuba mencuri susu tepung bayi di kedainya di Bercham, awal bulan lalu.

Menurutnya, suspek sama didapati bergerak secara berkumpulan menaiki sebuah kenderaan yang diletakkan di hadapan pasar raya untuk memudahkan mereka melarikan diri.

“Saya membebaskan mereka kerana termakan pujuk rayu dan alasan diberikan kumpulan sindiket curi susu itu. Kami sebagai peniaga runcit kini saling berhati-hati selepas menyedari kegiatan ini semakin berleluasa di negeri ini,” katanya.

Kegiatan sindiket mencuri tepung susu bayi pernah dibongkar selepas sekumpulan wanita berjubah, berbaju kurung dan bertudung labuh dikesan aktif mencuri susu di pasar raya seluruh negara dengan taktik menyorokkan barangan dicuri di celah kangkang mereka awal April lalu.

Suspek yang mencuri tepung susu bayi bernilai RM10,000 bagaimanapun ditahan polis di di Klang, Selangor dan Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

myMetro 31 Mei 2012

Lelaki hilang tapak kaki


KUALA TERENGGANU: “Saya hanya mampu meraung sambil menahan kesakitan, manakala rakan pula bertungkus-lumus membalut kaki untuk menghentikan pendarahan.

“Saya cuba mencari tapak kaki tapi malangnya ia hancur dipotong mesin itu,” kata Mohd Shaari Muda, 30, yang kehilangan tapak kaki kanannya akibat dipotong sebuah mesin pemotong kayu dalam kejadian di sebuah kilang papan di Kampung During Guling, Wakaf Tapai, Marang, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi, mangsa yang sudah 18 bulan bekerja di kilang berkenaan bertindak menggunakan kaki kanannya untuk menekan brek yang terletak di bahagian tepi mesin berkenaan.

Malangnya, tindakan itu membawa padah apabila kakinya tergelincir dan termasuk ke dalam putaran mesin menyebabkan tapak kaki kanannya hancur dipotong mesin berkenaan.

Mohd Shaari ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam, berkata dia kehilangan banyak darah dalam kejadian itu dan terpaksa menggunakan kain pembalut luka untuk menghentikan pendarahan.

Menurutnya, selain kehilangan tapak kaki, tulang anak jari kaki kanannya retak akibat terkena mesin pemotong kayu itu.

“Ketika hendak keluar dari kilang untuk menjemput anak saudara pulang dari sekolah, saya menukar kasut dan memakai selipar sebelum ke tempat mesin pemotong kayu itu untuk menghentikan suisnya.

“Tanpa berfikir panjang, saya tidak menekan brek itu dengan tangan sebaliknya menggunakan kaki kerana berpendapat tindakan itu lebih pantas.

“Saya tersentak apabila kaki kanan saya tergelincir ke dalam mata mesin pemotong kayu menyebabkan badan saya tersembam di atas lantai,” katanya.

myMetro 31 Mei 2012


Tapak kaki hancur terkena mesin

Mohd Shaari (kiri) menceritakan kemalangan ngeri yang dialami ketika menerima kunjungan Rosnani (kanan)di Kampung Durian Guling, semalam.

MARANG - "Saya hanya mampu menjerit sambil menahan kesakitan, ada rakan lari kerana terkejut dan takut melihat darah, ada juga membantu membalut kaki yang cedera untuk menghentikan pendarahan.”

Demikian kata Mohd Shaari Muda, 30, ketika menceritakan detik mencemaskan setelah kaki kanannya terkena bilah mesin pemotong kayu di sebuah kilang kayu getah di During Guling, di sini.

Dalam kejadian itu, tapak kaki kanan anak bongsu daripada lima beradik hancur.

Dalam kejadian 29 Mei lalu, kira-kira jam 11.30 pagi, mangsa yang sudah 18 bulan bekerja di kilang kayu getah berkenaan bertindak menggunakan kaki kanannya untuk menekan brek yang terletak di bahagian tepi mesin pemotong kayu berkenaan.

“Saya ketika itu ingin cepat menghabiskan kerja kerana perlu keluar untuk menjemput anak saudara pulang dari sekolah, saya menukar kasut yang dipakai dengan selipar sebelum ke tempat mesin pemotong kayu itu untuk menghentikan suisnya.

“Tanpa berfikir panjang, saya segera menekan brek dengan menggunakan kaki kerana fikir ia lebih cepat namun kaki saya tergelincir lalu termasuk ke dalam mesin yang sedang berputar sebelum saya tersembam ke lantai,” katanya.

Dia menceritakan kejadian itu ketika menerima kunjungan isteri Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Datuk Yahya Khatib Mohamad iaitu Toh Puan Rosnani Ngah ke rumah keluarga Mohd Shaari di Durian Guling di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Durian Guling, Mat Ariffin Abdullah dan setiausahanya, Ramli Mohamad.

Ketika kunjungan, Shaari baru pulang ke rumah keluarganya selepas hampir dua minggu berada di Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Dia kehilangan banyak darah dalam kejadian itu dan terpaksa menggunakan kain untuk menghentikan pendarahan.

“Selain kehilangan tapak kaki, tulang anak jari kaki kanannya yang patah akibat terkena mesin pemotong kayu itu terpaksa disambung semula dengan menggunakan besi penyokong agar jari yang patah dapat dipulihkan,” katanya.

Sinar Harian 12 Jun 2012

Amukan lelaki separuh bogel


KUALA LUMPUR: “Kami semua ketakutan dan terpaksa menyorok dalam kedai serta mengunci pintu, apabila seorang lelaki separuh bogel tiba-tiba mengamuk bersenjatakan sebatang besi panjang selain dua pisau dengan mengejar sesiapa saja yang lalu depannya,” kata Kenny Lee, 29, saksi kejadian seorang lelaki dipercayai mengalami masalah mental mengamuk di Jalan Wangsa Utama, Taman Wangsa Permai, Kepong, di sini pagi semalam.

Dalam kejadian jam 11 pagi berhampiran Pejabat Kutipan Hasil, cawangan Wangsa Permai itu, lelaki berkenaan turut memecahkan pasu bunga, membaling kerusi aluminium ke arah peniaga dan orang ramai serta menghayun batang besi ke kenderaan yang berhenti di kawasan itu.

Menurut Kenny yang juga pekerja salun di kawasan itu, pada mulanya lelaki tidak dikenali itu dilihat berkeliaran tanpa memakai seluar dan hanya mengacah untuk memukul beberapa kereta diletakkan di situ hingga membuatkan beberapa pelanggan ingin ke kedai di kawasan itu tidak berani berhenti.

“Beberapa minit kemudian, lelaki itu semakin ganas dengan bertindak memecahkan pasu bunga dan membaling kerusi aluminium milik sebuah restoran yang masih belum dibuka.

“Risau kejadian lebih buruk berlaku, majikan saya bertindak menghubungi polis kira-kira jam 11.15 pagi dan kami serta beberapa peniaga lain tidak berani keluar dari kedai kerana bimbang dicederakan,” katanya yang ditemui di lokasi kejadian.

myMetro 31 Mei 2012

Lelaki baru kahwin diburu ratah adik angkat


SUBANG JAYA: Seorang lelaki tergamak meratah tubuh adik angkatnya yang masih di bawah umur sehingga gadis terbabit yang masih bersekolah hamil lapan bulan menyebabkan keluarga mangsa membuat laporan polis, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, gadis berusia 14 tahun itu dirogol suspek berusia 25 tahun pada Ogos tahun lalu di rumahnya di Kampung Tengah, Batu 14, Puchong, dekat sini.

Menurutnya, siasatan mendapati walaupun kejadian berlaku sekali, tetapi gadis terbabit hamil. Mangsa tidak memberitahu perkara itu kepada sesiapa termasuk keluarganya kerana bimbang dimarahi.

“Suspek yang tinggal di Batu 13, Puchong, anak angkat kepada keluarga mangsa dan dia sering datang ke rumah mangsa termasuk bermalam di situ.

“Ini menyebabkan keluarga mangsa tidak mengesyaki perbuatan terkutuk dilakukan lelaki terbabit dan suspek merogol mangsa pada waktu malam ketika tiada sesiapa di rumah,” katanya.

Katanya, kejadian disedari keluarga mangsa selepas melihat perut gadis itu yang semakin membesar di samping perubahan sikapnya.

“Mangsa menceritakan kejadian rogol itu selepas dia tidak dapat berselindung dan keluarganya membuat laporan polis.

“Suspek terbabit yang baru melangsungkan perkahwinan dua bulan lalu kini diburu polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya.

myMetro 31 Mei 2012

Guru miang melampau


KUALA LUMPUR: Seorang guru wanita kini trauma dan mengalami tekanan perasaan serius sehingga mahu membunuh diri selepas mendakwa mengalami gangguan seksual serta dicabul guru lelaki di sekolahnya di sekitar Bangsar, di sini.

Gangguan seksual itu didakwa berlarutan sejak lebih tiga tahun lalu dan guru lelaki berusia 50-an yang bercucu itu pernah meluahkan perasaan cinta kepada mangsa.

Guru berkenaan yang mahu dikenali sebagai Ayu, 32, berkata, kemuncak gangguan itu ialah pada 30 April lalu apabila guru lelaki terbabit memegang kemaluannya selepas sering menghantar SMS lucah kepadanya.

“Saya mengalami tekanan seperti mahu membunuh diri. Tiada siapa yang menghulurkan tangan membantu menyelesaikan masalah, sebaliknya menuding jari kepada saya seperti saya pula yang bersalah.

“Sedangkan lelaki yang melakukan pencabulan ke atas saya tidak dikenakan sebarang tindakan. Setiap hari di sekolah saya perlu berdepan dengan lelaki miang itu menyebabkan saya mengalami tekanan perasaan teruk,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

myMetro 31 Mei 2012

Guna kod rahsia beli air ketum


SERI ISKANDAR - Taktik penggunaan kod ayat ‘air hijau’ untuk membeli air ketum akhirnya terbongkar apabila sepasukan polis dari cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah berjaya menahan dua suspek dalam dua operasi berasingan, 24 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, operasi pertama yang dilakukan pada jam 8.40 pagi itu diketuai, Ketua Cawangan Narkotik IPD Perak Tengah, Inspektor Muhammad Aizat Ab Rahman berjaya merampas sebanyak 40 liter air ketum.

Menurutnya, operasi berkenaan bergerak berpandukan maklumat daripada orang awam dan pemantauan pihak polis.

“Serbuan pertama ini dilakukan di sebuah kedai makan di Kampung Sungai Badak, Sungai Ranggam dan didapati menjual air ketum.

“Air ketum disorok di belakang kedai yang mempunyai kebun kelapa sawit dan apabila pembeli menyatakan kod ayat berkenaan, pemilik kedai itu akan pergi ke belakang premis untuk mengambil air yang disimpan di situ,” katanya dalam satu sidang akhbar, semalam.

Mohamad Fakri berkata, dalam serbuan itu, pihaknya menemui empat botol air ketum berjumlah 40 liter di dalam tong berwarna jingga dan pemilik kedai berumur 43 tahun ditahan untuk siasatan.Bagi serbuan kedua pula, jelasnya, dilakukan di sebuah kedai runcit terletak di Kampung Sungai Buaya, Jejawi pada jam 9.20 pagi.

"Dalam serbuan itu, kami ditemui 34 bungkus plastik dipercayai air ketum yang akan dijual kepada pelanggan di belakang kedai berkenaan.

"Apabila ada pelanggan yang meminta baru pemilik kedai tersebut akan mengambilnya di bahagian belakang kedai dengan harga RM2 sebungkus,” katanya.

Kata Mohamad Fakri, pemilik kedai berusia 33 tahun ditahan polis dan kedua-dua mereka dituduh di bawah seksyen 30 (3) akta racun 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sebanyak tidak lebih RM5000 atau Penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, katanya, jumlah rampasan air ketum bagi Januari hingga April 2012 dicatatkan sebanyak 41.33 liter dan daun ketum sebanyak 84,700 gram bagi lima kes.

“Kita menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam penjualan dan pembelian daun ketum ini kerana kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Sinar Harian 30 Mei 2012

Operator pengeluaran maut, pemandu cedera kereta terbabas


IPOH - Seorang operator pengeluaran maut manakala suaminya cedera apabila kereta mereka terbabas dan melanggar penghadang jalan di KM 230, Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Taiping pagi tadi.

Mashitah Ahmad Ridzuan, 29, dari Ipoh meninggal di tempat kejadian dalam kemalangan kira-kira 6.30 pagi itu.  

Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Yusof Mohd Diah berkata mereka dalam perjalanan dari arah utara ke selatan apabila kereta yang dipandu suami mangsa Rodzi Harun, 30, dipercayai gagal dikawal.

Dalam satu lagi kejadian berasingan di Km 185.5 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Parit Buntar petang semalam, seorang penumpang terbunuh manakala tiga yang lain cedera apabila kereta mereka terbabas dan tercampak ke  dalam parit.

Ketua Polis Daerah Kerian, Supt Mat Fauzi Nayan berkata mangsa dikenali sebagai K. Dorasingam, 66, berasal dari Kamunting, Taiping.  

Beliau berkata kereta itu dipandu anak mangsa dan pihak bomba dan penyelamat terpaksa mengeluarkan mangsa dan mereka yang lain yang tersepit di dalam kereta itu. -- Bernama

31 Mei 2012


Majlis kesyukuran bertukar tahlil


TAIPING: Majlis kenduri arwah dan kesyukuran yang dirancang seorang pekerja kilang di rumah keluarganya malam tadi, bertukar menjadi majlis tahlil kematiannya selepas maut dalam kemalangan di Kilometer 230.5, Lebuh Raya Utara-Selatan, berdekatan Padang Rengas, dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi, Masitah Ahmad Raduzan, 29, dari Taman Klebang Jaya, Chemor, dekat Ipoh maut selepas kereta dipandu seorang rakan lelakinya tidak dapat dikawal lalu melanggar tepi lori di laluan sama.

Kejadian itu menyebabkan Masitah maut di tempat kejadian, manakala rakan lelakinya yang belum diperoleh identitinya parah.

Ibu Masitah, Izan Yaakub, 52, berkata anaknya malam kelmarin memaklumkan akan pulang ke rumah, tetapi hajatnya tidak kesampaian apabila kemalangan menimpanya.

“Ketika menghubungi saya, dia dengan riang maklumkan akan cuti tiga hari dan mahu pulang untuk menghadiri majlis bacaan Yassin dan tahlil untuk arwah keluarga termasuk sepupunya yang meninggal dunia kira-kira sebulan lalu.

“Ia juga majlis kesyukuran atas kejayaan adik bekerja di Tenaga Nasional Berhad dan memasuki pusat pengajian tinggi di Melaka, tetapi rupa-rupanya hanya jenazah arwah dibawa pulang,” katanya dengan nada sedih ketika ditemui di Hospital Taiping, semalam.

Izan berkata, beliau terkejut ketika menerima berita kejadian malang itu pada jam 7 pagi, tetapi reda dengan pemergian anak perempuan tunggalnya yang bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang itu.

“Anak saya tidak menunjukkan sebarang perubahan kecuali menyatakan terlalu teringin untuk pulang bersama keluarga,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, pemandu kereta terbabit dimasukkan ke Hospital Kuala Kangsar.

Berita Harian 1 Jun 2012

Pencuri besi kena sawan babi


IPOH - Niat dua orang rakan yang sering bergiat aktif dalam aktiviti mencuri dan memotong besi terbantut apabila salah seorang daripadanya diserang sawan babi dalam satu kejadian di Taman Bercham Baru, semalam.

Kejadian itu turut menyebabkan kedua-dua mereka jatuh daripada motosikal dan terbabas di tepi jalan.

Terdahulu, dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 10 pagi itu, kedua-dua lelaki tersebut sedang asyik memotong dan mencuri besi dari sebuah rumah di kawasan itu dipercayai untuk dijual sebagai besi buruk.

Kedua-dua lelaki itu dipercayai menggunakan beberapa peralatan seperti pisau pemotong daging untuk melakukan ‘kerja’ tersebut.

Bagaimanapun, perbuatan itu disedari penduduk kampung yang kebetulan berada di situ dan segera meminta batuan kira-kira 30 ahli Persatuan Keselamatan Sukarela Kawasan Bercham (PKSB) dan orang awam yang berada di sekitar kawasan kejadian.

Salah seorang suspek yang berusia dalam lingkungan 20 tahun yang mengalami sawan babi dihantar ke klinik berhampiran oleh penduduk kampung berkenaan.

Pengerusi PKSKB, Leong Wing Fat, 44, berkata, kegiatan mencuri atau samun di sekitar kawasan kediaman itu semakin berleluasa sejak kebelakangan ini menyebabkan pihak persatuan turut mengadakan pemantauan pada waktu siang.

“Kejadian itu disedari penduduk yang ternampak dua pencuri berkenaan cuba mencuri beberapa bahagian besi dari rumah berhampiran dan kami bertindak mengepung suspek yang memecut menaiki motosikal untuk melarikan diri.

“Namun, mereka berjaya diberkas selepas motosikal yang dinaiki hilang kawalan lalu terbabas manakala seorang suspek yang mengalami kekejangan dan mulut berbuih dipercayai sawan babi dikejarkan ke klinik berhampiran,” katanya.

Wing Fatt berkata, kedua-dua lelaki tersebut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Sinar Harian 31 Mei 2012

Padah buat majikan sambil lewa


SEBERANG JAYA – Sebanyak 26 majikan dalam negeri ini didakwa di mahkamah dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini kerana tidak mencarum pekerja.

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Pulau Pinang, Zainol Abu berkata, daripada jumlah itu, 17 majikan adalah dari kawasan Seberang Perai, sementara sembilan lagi di bahagian pulau. Menurutnya, selain pendakwaan, kompaun turut diberikan kepada 75 majikan iaitu 50 di Seberang Perai dan selebihnya di pulau melalui operasi yang diadakan dari semasa ke semasa.

“Denda maksimum RM10,000 atau dua tahun penjara boleh dikenakan ke atas majikan jika disabitkan kesalahan mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969. Sementara, kompaun maksimum yang dikenakan adalah RM1,500.

“Untuk rekod, terdapat kira-kira 1.1 juta pekerja yang berdaftar di Pulau Pinang, namun menyedihkan setakat ini hanya separuh atau 435,000 sahaja yang aktif mencarum,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sejurus selepas merasmikan program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2012 di Bangunan Perkeso Negeri di sini, semalam.

Hadir sama, Pengurus Perkeso Pulau Pinang, Wee Lian Gin. Zainol dalam pada itu berkata, sepanjang tahun lalu, Perkeso sudah membayar RM38.2 juta secara tunai melibatkan 15,074 kes bagi semua jenis faedah kepada pekerja dan waris pekerja yang meninggal dunia.

Justeru katanya, adalah menjadi tanggungjawab Perkeso untuk mengadakan kempen mengenai penjagaan kesihatan dan langkah pencegahan dari berlaku kemalangan, agar mereka dapat meneruskan tugas dengan sempurna tanpa mengalami gangguan kesihatan.

“Kemalangan boleh berlaku di mana-mana, malah cara kerja seseorang juga boleh membawa kepada kemalangan. Umpamanya penyakit tulang belakang yang berpunca daripada mengangkat benda berat di tempat kerja.

“Oleh itu, penting untuk mendedahkan kepada pekerja mengenai aspek keselamatan bagi mengelakkan berlakunya penyakit pekerjaan terhadap pekerja di negara ini,” katanya.

Sinar Harian 31 Mei 2012

Ubah sikap tidak ambil tahu


KEPIS – Mentaliti segelintir masyarakat yang tidak suka mengambil tahu apa berlaku di kawasan kediaman masing- masing perlu diubah. Ketua Balai Polis Dangi, Sub Inspektor Rosli Mohd Shah berkata, masyarakat seharusnya prihatin dengan masyarakat sekitar supaya dapat membantu sekiranya berlaku kejadian jenayah di kawasan mereka.

“Kita amat berharap agar masyarakat turut berperanan menjayakan program komuniti kepolisan, sekali gus bergandingan bersama polis setempat bagi meningkatkan lagi fungsi dan keberkesanannya dalam usaha mencegah jenayah.

“Gandingan bersama ini mampu mengurangkan kadar jenayah dan tidak memberi peluang kepada orang luar melakukan jenayah di tempat kita sendiri,” katanya pada program Komuniti Kepolisan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kepis bersama Balai Rosli (tengah) mengiringi Robin (dua, kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang sukaneka di Dataran Kampung Kepis Baru sempena program Komuniti Kepolisan. Polis Dangi, di Dataran Kampung Kepis Baru, di sini.

Hadir sama, Asisten Superitendan Robin Guha Thakurta selaku wakil kepada Ketua Polis Daerah Kuala Pilah dan Pengerusi KRT Kepis, Ahad Amin.

Menurut Rosli, integrasi antara masyarakat serta anggota polis harus dikekalkan dalam usaha kedua-dua pihak berusaha membendung jenayah di kawasan perumahan atau kampung.

"Dengan adanya kerjasama erat antara kedua-dua pihak, tidak mustahil kadar jenayah boleh dikurangkan memandangkan tugas membendung jenayah bukan terletak di bahu pasukan polis sahaja," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat agar bergerak bersama-sama dengan polis dalam menjayakan Komuniti Kepolisan bagi menggerunkan penjenayah, sekali gus menghindarkan mereka daripada meneruskan aktiviti jenayah.

Terdahulu, warga polis bersama penduduk kampung turut serta dalam acara pertandingan kerja tangan wanita, pertandingan futsal, pertandingan mewarna bagi kanak-kanak serta menyampaikan anugerah pelajar cemerlang.

Sinar Harian 31 Mei 2012

Ditetak selepas bergaduh


HULU SELANGOR – Seorang remaja lelaki nyaris maut apabila ditetak bertubi-tubi di seluruh badan oleh sekumpulan lelaki berparang dalam kejadian di Kampung Hassan, Ulu Bernam, Hulu Selangor, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3 pagi ketika mangsa, C Vineskumar, 19, berada di rumah abang iparnya, V Rajan, 32.

Beliau berkata, berdasarkan aduan diterima, empat lelaki bersenjatakan tiga bilah parang serta sebatang besi itu menyerbu rumah terbabit, sebelum menarik mangsa keluar.

Menurutnya, berlaku pergaduhan antara mangsa dan kumpulan lelaki itu, sebelum mangsa ditetak dengan parang.

“Tetakan bertubi-tubi itu menyebabkan mangsa cedera parah di bahagian telinga kiri, kaki kanan, belakang badan, jari kanan termasuk di bahagian bahu sehingga ke siku.

Norel Azmi berkata, selepas laporan diterima pihaknya menjalankan operasi bagi menjejaki keempat-empat lelaki yang terlibat dalam kejadian.

“Kita berjaya tahan seorang daripada mereka, manakala yang lain masih diburu.

"Kita akan dapatkan perintah tahanan reman dalam masa terdekat untuk siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya.

Sinar Harian 31 Mei 2012

Dituduh rogol gadis bawah umur


KLANG - Seorang remaja semalam mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan
merogol teman wanitanya yang berusia 15 tahun minggu lalu.

Remaja berusia 17 tahun 10 bulan itu merogol gadis berusia 15 tahun tersebut di sebuah rumah di Taman Rantau Panjang Jaya, di sini, sekitar jam 10 pagi, 21 Mei lalu.

Majistret Herman Hussin menetapkan 5 Julai depan untuk sebutan kes sebelum menentukan hukuman, bagi mendapatkan laporan akhlak remaja tersebut dan membenarkan dia diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Sinar Harian 31 Mei 2012

Dua peragut didakwa


KUANTAN - Seorang remaja berusia 17 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan semalam atas tuduhan meragut beg seorang wanita dalam satu kejadian awal pagi di sini, 27 April lalu.

Remaja dari Taman Maha, Jalan Beserah di sini yang ditahan bersama rakan subahatnya, Mohd Fakrur Rozani, 19, mengaku bersalah atas tuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Amalina Zainal Mokhtar di hadapan Hakim Fathiyah Idris.

Berdasarkan kertas pertuduhan itu, remaja terbabit yang membonceng motosikal ditunggang rakan, didakwa melakukan rompakan (ragut) ke atas seorang wanita sebelum melarikan beg sandang milik mangsa membabitkan kerugian RM3,150.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 4 pagi, di hadapan sebuah restoran Jalan Haji Ahmad di sini, 27 April lalu.

Akibat daripada perbuatannya itu, dia bersama rakannya berjaya dicekup polis 3 Mei lalu sebelum mereka berdua dihadapkan ke mahkamah semalam.

Remaja terbabit didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta boleh dikenakan denda dan sebatan.

Mahkamah membenarkan remaja terbabit diikat jamin RM2,700 sementara menunggu tarikh sebutan laporan akhlak pada 20 Jun depan.

Sementara itu, rakannya, Mohd Fakrur Rozani yang dituduh bersubahat melakukan rompakan itu mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Dia yang berdepan tuduhan mengikut Seksyen 180 Kanun Keseksaan didakwa secara bersama melakukan rompakan tersebut membabitkan mangsa, tarikh dan masa yang sama.

Bagi kesalahan itu, dua juga berdepan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda serta sebat jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang mengaku tidak berkerja merayu supaya wang jaminan RM6,000 yang ditawarkan Timbalan Pendakwa Raya Noor Svetlana Mohd Noor Nordin dikurangkan.

Mengambil kira rayuan tertuduh itu, mahkamah membenarkan dia diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin manakala 20 Jun depan ditetapkan sebagai tarikh perbicaraan.

Sinar Harian 31 Mei 2012

Pelajar kaki lalok kena cekup


KUANTAN - Seorang pelajar berusia 14 tahun dari sebuah sekolah menengah di sini antara 30 individu yang ditahan polis kerana disyaki terlibat dengan pelbagai kesalahan dadah dalam Ops Tapis Bersepadu siri 5/2012 di kawasan Panching Timur dan Felda Lepar Hilir dekat sini, kelmarin.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Superintendan Yap Tooon Khuan berkata, selain pelajar terbabit, 29 individu lain berusia antara 14 hingga 41 tahun yang ditahan itu terdiri daripada 27 buruh, seorang juru ukur dan seorang juruteknik landskap.

Menurutnya daripada 34 kes yang dicatatkan membabitkan 30 tangkapan itu, 26 kes (24 tangkapan) melibatkan kesalahan mengambil dadah mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 manakala empat kes (4 tangkapan) mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah (APD).

“Manakala terdapat dua kes dengan satu tangkapan di bawah Seksyen 12(2) ADB, satu kes (1 tangkapan) di bawah Seksyen 39A(2) ADB dan satu kes mengikut Seksyan 39A(1) ADB bagaimanapun tiada tangkapan dilakukan bagi kes tersebut,” katanya dalam satu sidang media di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, Toon Khuan berkata, sepanjang Ops Tapis Bersepadu Siri 5 yang dijalankan bermula 25 hingga 29 Mei lalu, pihaknya berjaya menahan 263 individu daripada 298 kes membabitkan pelbagai kesalahan dadah di seluruh negeri.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 145 kes dengan 117 tangkapan dilakukan atas kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB, 111 kes dengan 110 tangkapan bagi kes di bawah Seksyen 3(1) AAPD (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan 20 kes (18 tangkapan) mengikut Seksyen12 (2) ADB.

“Kita juga berjaya menahan lima suspek disyaki pengedar dadah daripada lima kes di bawah Seksyen 39B ADB yang dicatatkan dan lima kes dengan empat tangkapan bagi kesalahan mengikut Seksyen 39A(2) ADB.

“Pada masa sama, empat kes dengan empat tangkapan dibuat bagi kes di bawah Seksyen 39A(1) ADB, empat kes dengan satu tangkapan di bawah Seksyen 6 ADB dan dua kes (2 tangkapan) mengikut Seksyen 3 (1) ADB Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1983,” katanya.

Toon Khuan berkata, sepanjang ops itu, seramai 649 individu diarahkan menjalani ujian saringan air kencing dan daripada jumlah itu, 256 didapati positif pelbagai jenis dadah manakala 393 negatif.

Beliau berkata, pihaknya akan meneruskan operasi bagi membendung kegiatan pengedaran dan penagihan dadah di negeri ini.

“Kita juga akan menjalankan operasi di kawasan-kawasan yang dikenal pasti berlaku kegiatan ini dari masa ke semasa.

“Dalam kes di kawasan Panching Timur dan Felda Lepar Hilir dekat sini misalnya, kita menerima banyak aduan berhubung kes-kes pecah rumah yang disyaki perbuatan penagih dadah lalu satu operasi digerakkan dan 30 penagih berjaya ditahan di kawasan itu, kelmarin,” katanya.

Sinar Harian 31 Mei 2012

Rumah hangus: 6 beranak tinggal sehelai sepinggang


DUNGUN - Enam beranak tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka di Kampung Bukit Besi musnah dalam kebakaran di sini, malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, ibu tunggal Syarifah Ismail, 48, tiga anaknya Mohd Hafiz Hitam, 28, Mohd Faizal, 20, dan Khatira, 11, serta dua cucu lelaki yang berusia lima dan enam tahun tiada di rumah.

Syarifah berkata ketika kejadian, mereka sekeluarga berada di rumah seorang lagi anaknya di Kampung Jerangau, kira-kira 25 kilometer dari rumahnya.

Menurutnya anak perempuannya dan dua cucunya ditinggalkan di rumah anaknya itu semasa dia dan dua anak lelakinya menoreh getah tidak jauh dari rumah anaknya itu dan mereka setiap hari berulang-alik.

"Saya dihubungi jiran yang memaklumkan rumah terbakar.  Sebaik tiba, saya lihat api marak dan kami gagal menyelamatkan sebarang harta benda," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian, hari ini.

Sementara itu, Pegawai Operasi Bomba Dan Penyelamat Balai Bomba Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS) Nor Hazri Mohd Nor berkata sepasukan empat anggota dengan sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima laporan.

Katanya, kebakaran itu berjaya dipadamkan keseluruhannya dengan mengambil masa selama 30 minit dan jumlah kerugian serta punca kejadian masih disiasat.- Bernama

31 Mei 2012

Dua sepupu cedera kemalangan


RANTAU PANJANG – Dua sepupu tidak sempat menghadiri majlis meraikan kemenangan sebuah pasukan bola sepak pada satu pertandingan, setelah terlibat dalam kemalangan di Kubang Rambutan kira-kira jam 9.20 malam kelmarin.

Ketika kejadian mangsa yang kedua-duanya berasal dari Kubang Sok Sek itu, menunggang dan membonceng sebuah motosikal apabila diundang untuk memeriahkan majlis bakar ayam itu.

Sinar Harian difahamkan kedua-dua remaja itu terlibat kemalangan dengan kereta Wira dari Rantau Panjang menghala ke laluan sama dengan mangsa.

Mangsa, Mohd Hamizi Ameran, 13, berkata ketika kejadian motosikal mereka yang menghala ke Kubang Rambutan berada di hadapan, sementara kereta Wira di belakangnya.

Menurutnya, mereka terlibat kemalangan setelah membelok ke kanan jalan untuk ke lokasi majlis diadakan.

“Saya sedar ketika kejadian dan terjatuh setelah berlanggar sebelum diselamatkan orang kampung yang mengangkat saya ke tepi jalan,” katanya kepada Sinar Harian.

Berikutan kemalangan itu, Mohd Hamizi mengalami kecederaan pada bahu kanan, dan luka kecil di hampir keseluruhan badan sementara Mohd Fitri Rosli, 12, patah kaki kanan.

Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Daerah Pasir Mas (HDPM) dengan Ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Rantau Panjang untuk mendapatkan rawatan.

Mohd Fitri yang patah kaki kemudiannya dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZII) untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Skuad JPAM, Rantau Panjang, Lans Koperal Zulilawati Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian kira-kira jam 9.30 malam.

Menurutnya, beliau bersama empat anggota ke tempat kejadian, untuk memberikan bantuan awal kepada mangsa yang patah kaki seterusnya menghantar mereka ke HDPM.

Sinar Harian 31 Mei 2012

Kes bunuh Sosilawati: ‘Pathma untung atas angin’


SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini, semalam diberitahu bekas peguam N Pathmanabhan tidak mempunyai wang dalam akaun dan hanya membuat untung atas angin melalui jual beli tanah antara dia, Datuk Sosilawati Lawiya dan Ample Quality Sdn Bhd.

Bagaimanapun, cadangan Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin itu disangkal Pathmanabhan, tertuduh pertama kes bunuh Sosilawati dan tiga lain, semasa bela diri, semalam.

Hujahan pihak pendakwa sebelum ini menyatakan Sosilawati membayar RM3 juta ke akaun pelanggan firma guaman Pathma Nalli & Partners pada 3 Ogos 2010.

Pathmanabhan mengaku membuat pengeluaran daripada akaun pelanggan tersebut dan memasukkan ke akaun peribadinya dengan alasan transaksi itu sah kerana mempunyai surat kuasa yang ditandatangani Sosilawati.

Saiful Edris kemudian mencadangkan surat dimaksudkan sebenarnya dibuat Pathmanabhan sendiri pada 30 Ogos 2010, tapi diletakkan tarikh 11 Ogos 2010.

Ishak: Kalau Sosilawati yang keluarkan surat itu, dia mesti guna kepala surat syarikatnya, Southern Simphony?

Pathmanabhan: Tidak. Dia datang ke pejabat saya di Banting. Masa itu dia tidak bawa kepala surat dan dia arahkan saya buat surat itu untuk ditandatangani.

Cadangan Saiful Edris itu seiring dengan soal balas Timbalan Pendakwa Raya Ishak Abdul Ghani yang mencadangkan sebenarnya Pathmanabhan memaksa Sosilawati menandatangani surat itu di Ladang Gadong pada 30 Ogos 2010.

Ishak: Apabila dia tidak mahu tanda tangan, awak arahkan pekerja ladang pukul tiga yang lain.

Pathmanabhan: Tidak setuju.

Ishak: Selepas awak dapat tanda tangan beliau, awak arahkan pekerja habiskan mereka dan bunuh di depan mata awak?

Pathmanabhan: Tidak setuju.

Ishak turut menarik perhatian mahkamah apabila beliau bertanya mengenai seseorang yang disebut sebagai T Selvi.

Ishak: Apa pertalian kamu dengan dia?

Pathmanabhan: Dia klien saya.

Ishak:Apa berlaku padanya?

Pathmanabhan: Dia telah dibunuh.

Ishak: Saya cadangkan awak pinjam wang daripadanya?

Pathmanabhan: Tidak setuju.

Perbicaraan di hadapan Hakim Akhtar Tahir bersambung hari ini.

Sinar Harian 31 Mei 2012

Dulu gigit telinga polis, kini ceroboh rumah


KUALA TERENGGANU - Tidak pernah serik, baru sebulan dibebaskan dari penjara kerana kesalahan menggigit telinga seorang anggota polis berpangkat konstabel, seorang duda masih lagi mengulangi perbuatan jenayah.

Kali ini, dia didakwa kerana menceroboh sebuah rumah di Kampung Bukit Tok Beng, di sini, 24 Mei lalu.

Semalam, Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman penjara selama lima bulan terhadap duda kepada tiga anak itu, Mohd Shukri Muda, 34, dari Kampung Alur Damat Wakaf Tengah, di sini.

Hukuman dijatuhkan oleh Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi selepas dia mengaku salah menceroboh masuk dengan niat melakukan satu perbuatan yang menyalahi undang-undang di sebuah rumah di Kampung Bukit Tok Beng.

Mohd Shukri mengaku menceroboh rumah yang didiami Mohd Naaim Rusli, 25, pada 24 Mei lalu antara jam 5 petang hingga 7 petang.

Dengan itu, dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga boleh sampai tiga tahun atau dengan denda sehingga RM5,000 atau kedua-dua sekali jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L Ratna manakala Mohd Shukri tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, Mohd Shukri ditangkap oleh penduduk kampung kira-kira jam 6.40 petang ketika cuba menceroboh masuk rumah mangsa yang didiami bersama ibu dan seorang adiknya.

Mohd Shukri diserahkan keluarga mangsa yang sememangnya sebelum itu langsung tidak mengetahui kediaman mereka nyaris dicerobohi dan seterusnya dia diserahkan kepada polis rondaan untuk tindakan lanjut.

Sebelum ini, Mohd Shukri yang bertindak menggigit telinga kiri seorang anggota polis hingga hampir putus  Februari lalu dikenakan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini.

Bagaimanapun, dia yang mengalami kecederaan akibat terkena tembakan di kaki yang dilepaskan anggota polis berkenaan terpaksa memilih dipenjarakan selama dua bulan kerana tidak mempunyai wang.

Sinar Harian 31 Mei 2012

May 30, 2012

3 warga Indonesia dihukum penjara, sebat kerana rompakan bersenjata


KUALA TERENGGANU: Tiga warga Indonesia dihukum penjara tujuh tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan melakukan rompakan bersenjata awal bulan ini.

Mawardi Dimak, 29, didakwa melakukan rompakan itu bersama Sahrun, 25, dan Hamdi Keson, 24, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bukit Tanah, Kampung Raja, Besut sekitar jam 2 pagi, 8 Mei lalu.

Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh ketiga-tiga tertuduh ditangkap iaitu pada jam 8 malam hari yang sama di rumah kongsi ladang kelapa sawit Seri Alam, Kampung Bukit Jeruk, Kampung Raja Besut.

Mengikut fakta kes, ketiga-tiga tertuduh iaitu pekerja kontrak ladang berkenaan memecah masuk rumah pengadu, Shafie Mohamad, 46, dan meletakkan parang di leher mangsa dan isterinya serta mengugut akan membakar rumah sebelum melarikan barang kemas bersama wang tunai dianggarkan bernilai RM8,000.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama dengan Seksyen 397 kanun yang sama, membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan.

Ketiga-tiga tertuduh mengaku salah sebaik pertuduhan dibacakan.

Sementara itu, di mahkamah yang sama, Hamdi Keson dan Sahrun turut mengaku salah terhadap dakwaan memasuki negara ini tanpa dokumen yang sah.

Kedua-duanya didakwa bersama tujuh lagi rakan senegara iaitu Anton Idin, 20; Muhamad Jalaludin Keson, 25; Muhtar, 24; Mus, 20; Sadeli, 25; Suhardan, 32 dan Suwinton, 20,wa di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta yang sama.

Mereka yang turut mengaku salah, ditahan ketika hadir memberi keterangan berhubung kejadian rompakan berkenaan di perkarangan Ibu pejabat Polis Daerah Besut, Kampung Raja, Besut pada jam 5 petang, 22 Mei lalu.

Mereka dijatuhkan hukuman enam bulan penjara dan dua sebatan oleh Hakim Wan Fadhilah Nor. - BERNAMA

30 Mei 2012


Penyamun dipenjara 7 tahun


KUALA TERENGGANU – Tiga suspek yang menyamun sepasang suami isteri dengan bertindak menghunus parang di leher dalam kejadian samun di Kampung Bukit Tanah, Besut, awal bulan lalu dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris menjatuhkan hukuman itu selepas ketiga-tiga mereka yang merupakan warga Indonesia mengaku bersalah terhadap pertuduhan melakukan rompakan bersenjata, 8 Mei lalu.

Tertuduh, Mawardi Dimak, 29, Sahrun, 25, dan Hamdi Keson, 24, mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama.

Mereka mengaku melakukan rompakan berkumpulan bersama seorang lagi yang masih bebas dengan menggunakan senjata terhadap mangsa, Shafie Mohamad, 46, dan isterinya Hasniah Hassan, 39, di sebuah rumah tidak bernombor di Lorong Setia, Kampung Bukit Tanah, Besut, kira-kira jam 2.10 pagi, 8 Mei lalu.

Ketiga-tiga mereka turut mengaku melarikan seutas rantai emas, dua utas rantai leher emas, seutas rantai leher berloket emas, enam telefon bimbit dan tunai RM500, serta menggunakan senjata yang boleh mendatangkan kecederaan atau kematian iaitu dua parang dan sebatang kayu.

Manakala bagi tertuduh, Sahrun dan Hamdi turut berdepan pertuduhan tidak memiliki permit sah untuk tinggal sementara di negara ini iaitu kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1953/1969 (Pindaan 2002) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 6 (3) akta sama.

Bagi kesalahan itu, kedua mereka dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan dua sebatan, bagaimanapun, Wan Fadhilah Nor memerintahkan hukuman penjara itu dijalankan serentak dari tarikh mereka ditangkap.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Zulfazliah dalam pendakwaannya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran dan meninggalkan keinsafan kepada mereka kerana banyak kes rompakan dan kecurian dilakukan warga asing sejak belakangan ini seperti dilaporkan dalam akhbar, selain mengambil kira kesan trauma dihadapi mangsa.

Manakala Wan Fadhilah Nor dalam penghakimannya berkata, mahkamah mengambil kira ketiga-tiga tertuduh adalah warga Indonesia yang mencari kerja dan membantu keluarga di kampung, tetapi sebaliknya melakukan jenayah.

Terdahulu dalam rayuannya, ketiga-tiga mereka memohon mahkamah mengurangkan hukuman kerana mendakwa orang susah, terdesak dan berpenyakit.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan sepasang suami isteri berdepan pengalaman mencemaskan selama kira-kira 30 minit apabila leher mereka dihunus parang panjang oleh tiga lelaki yang menyamun rumah mereka di Kampung Bukit Tanah, Besut.

Menurut Shafie, salah seorang penyamun yang bertutur loghat Indonesia mengarahkan dia dan isterinya diam dengan mengugut akan menyembelih sekiranya bising.

Berikutan kejadian itu, mangsa bukan sahaja trauma malah terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM8,000 setelah barang berharga dan tunai mereka dilarikan.

Sinar Harian 31 Mei 2012

2 buruh bebas pertuduhan bunuh lelaki di Batu Caves


SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskan dua buruh daripada pertuduhan membunuh seorang lelaki di Batu Caves, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Ahmadi Asnawi membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap T Tamil Mani, 29, dan A Lawrence, 20.

Dalam penghakimannya, Ahmadi berkata pembabitan kedua-dua tertuduh hanya bergantung kepada keterangan saksi keempat pendakwaan iaitu adik mangsa, Jagjit Singh yang kredibilitinya sangat lemah kerana sering mengubah keterangan mengikut kesesuaian soalan pendakwaan dan pembelaan.

"Selain keterangan saksi keempat, tiada keterangan lain yang boleh mengaitkan kedua-dua tertuduh dengan pertuduhan," katanya.

Kedua-dua lelaki didakwa membunuh Balwant Singh, 53, di Lot 8381, Jalan 5, Kampung Laksamana, Batu Caves antara jam 4 pagi dan 4.30 pagi pada 1 Julai 2010 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sepanjang perbicaraan, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Faradziah Kasah memanggil 12 saksi.

Tamil Mani diwakili peguam James George manakala Lawrence oleh Salim Bashir. - BERNAMA

30 Mei 2012

Anak sara hidup keluarga

Norizan (kiri, belakang) melihat suaminya, Mat Rusuf menerima wang bantuan bulanan JKM pertama yang disampaikan Zukefli di rumah mereka di Kampung Kolam Temusu.

PASIR PUTEH - “Siapa yang minta untuk hidup begini tetapi saya redha dan terimanya dengan hati terbuka walaupun sering menangis di dalam hati,” luah seorang isteri, Norizan Muda, 43, yang menjaga suaminya lumpuh dan membesarkan empat anak.

Menurutnya, kebajikan suaminya, Mat Rusuf Abd Kadir, 47, adalah keutamaannya dan sanggup bersusah payah menjaganya.

 Dia berkata, sudah tujuh tahun suaminya tidak dapat bergerak akibat penyakit saraf yang menyebabkan saluran darah tersumbat sehingga keduadua belah kaki Mat Rusuf terpaksa dipotong.

“Sekarang ini, kami sekeluarga terpaksa berjimat cermat kerana tidak mempunyai sumber pendapatan tetap, lebih- lebih lagi perlu membayar sewa rumah berjumlah RM150 sebulan.

“Bukan itu sahaja, kos rawatan suami juga perlu disediakan, sedangkan saya tidak mampu bekerja kerana perlu uruskan dia di rumah,” katanya kepada Sinar Harian ketika menerima kunjungan daripada Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat (JKM) Pasir Puteh, Zulkefli Ali ke rumahnya di sini, semalam.

Hadir sama ialah, Pengerusi JKKP Tanpa Mukim Dun Selising, Nik Mas Mahmod dan Penyelaras Peti Undi Wakaf Bunut, Nik Nab Nik Kob.

Menurutnya, disebabkan  kesempitan hidup, tiga anaknya sanggup bekerja daripada meneruskan pengajian kerana kasihankan ibu bapa mereka.

Norizan berkata, anak sulung dan keduanya yang berumur 25 dan 22 tahun bekerja kilang manakala yang ketiga berumur 20 tahun pula mengambil upah menjahit.

Katanya, ketiga-tiga merekalah yang menyara dia dan suami serta anak bongsu yang masih bersekolah dalam tingkatan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pak Badol.

“Kadang-kadang saya kasihankan anak-anak bila melihat mereka sanggup mengetepikan keperluan sendiri untuk beri kami duit.

 “Saya berharap dengan bantuan bulanan RM300 daripada JKM ini dapat meringankan beban kami sekeluarga,” katanya.

Sinar Harian 30 Mei 2012

Sangkaan ibu tunggal meleset

Anggota JPAM Hilir Perak bertungkus lumus membantu keluarga Salasiah membersihkan pokok kelapa sawit tumbang mengenai bahagian rumahnya.

BAGAN DATOH - "Pada mulanya saya hanya menyangka  dentuman kuat ini akibat pokok tumbang berhampiran rumah, namun tak sangka dapur saya yang ranap," kata Salasiah Hamzah, 54.

Salasiah berkata, ketika kejadian kira-kira jam 8.30 malam, kelmarin dia bersama ibunya, Amnah Osman, 80 dan cucunya, Mohd Lutfi Syakirin Nor Azhar, tujuh bulan berada di ruang tamu sedang menonton televisyen.

Menurutnya, secara tibatiba satu bunyi kuat datang dari arah belakang rumahnya mengejutkan mereka sekeluarga yang beranggapan pokok tumbang berhampiran kediaman.

“Terkejut dengan bunyi kuat itu, saya terus ke bahagian dapur bagi melihat sendiri apa yang terjadi dan tidak menyangka bahagian yang baru dibaik pulih kira-kira enam bulan lalu menjadi mangsa pokok tumbang.

“Saya terus menghubungi anak Rozaini Ridzuan, 28 dan menantu Nor Azhar Hanif, 28 yang ketika itu dalam perjalanan pulang daripada menghadiri kenduri di Negeri Sembilan bagi memaklumkan kejadian tersebut,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Kampung Sungai Nipah Baroh, di sini, semalam.

Menurut Salasiah yang juga seorang ibu tunggal, menantunya, Nor Azhar, turut memaklumkan kejadian itu kepada ketua kampung dan juga pegawai khas kepada Adun Rungkup.

Katanya, sepasukan anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Hilir Perak telah membantu keluarganya untuk membersihkan pokok sawit yang menghempap dapur rumahnya.

"Tak sangka pokok sawit berusia kira-kira 16 tahun ini yang berada 100 meter dari rumah jatuh menimpa bahagian dapur. Setakat ini kerugian dianggarkan RM10,000.

“Namun begitu, saya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku kepada keluarga,” katanya.

Sinar Harian 30 Mei 2012

Warga emas maut dirempuh motosikal


SHAH ALAM - Seorang warga emas maut dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di persimpangan Jalan Kebun Tambahan-Jalan Kampung Lombong, Seksyen 30 di sini, kelmarin.

Mangsa, L Subramanian, 66, dari rumahnya di Teluk Panglima Garang dalam perjalanan menuju ke rumah anaknya di Puchong.

Sumber polis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.55 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis EX5, dirempuh sebuah motosikal ditunggangi dua lelaki.

“Siasatan mendapati, mangsa secara tiba-tiba masuk ke persimpangan itu sehingga menyebabkan sebuah motosikal yang datang dari arah Lebuhraya Kesas gagal untuk mengelak.

“Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak dan maut akibat kecederaan parah di kepala,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat manakala dua mangsa lagi hanya mengalami kecederaan ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di hospital sama.

Dalam perkembangan sama, polis mengesan saksi kemalangan maut di kilometer 10.2 Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE), pada 12 April lalu.

Kemalangan itu melibatkan sebuah motosikal, kereta Perodua Myvi dengan sebuah kenderaan yang tidak dapat dipastikan.

Penunggang motosikal, Yong Kam Yuan, 49, maut di tempat kejadian akibat dilanggar oleh kenderaan yang tidak dapat dipastikan itu.

Sinar Harian 30 Mei 2012