May 23, 2015

Jenazah Raja Mohammad Firdaus, mangsa pertama kapal korek karam di Johor dikebumi

KLANG - Jenazah seorang daripada mangsa insiden kapal korek Ocean Line SC208 yang karam di perairan Pengerang, Johor Rabu lepas selamat dikebumikan hari ini.

Jenazah Raja Mohammad Firdaus Raja Ikram, 23, dibawa ke Masjid Kampung Idaman dekat sini pada kira-kira pukul 12 tengah hari untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan pada kira-kira pukul 1.30 petang.

Abang sulungnya Raja Fuad, 30, berkata, keluarganya redha dengan pemergian arwah dan berada dalam keadaan tenang.

"Ibu kami, Azizah Abdul Aziz, 52, juga lebih tenang sekarang berbanding pada hari pertama kejadian dan dapat menerima apa yang telah berlaku dan bersyukur setelah tiga hari beliau hilang, hari ini dia kembali kepada kami," katanya kepada pemberita selepas majlis pengebumian itu.

Raja Mohammad Firdaus merupakan anak ketiga daripada lima orang adik beradik. -Bernama

23 Mei 2015


Raja Mohammad Firdaus selamat dikebumikan

Klang: Allahyarham Raja Mohammad Firdaus Raja Ikram yang terkorban dalam nahas kapal korek pasir yang karam di Timur Tanjung Punggai perairan Pengerang Kota Tinggi, Johor selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Panama, Pelabuhan Klang, di sini, 12.35 tengah hari tadi.

Suasana pilu menyelubungi majlis pengebumian yang turut dihadiri kira-kira 100 ahli keluarga dan penduduk kampung.

Jenazah tiba di kediaman ibunya di Kampung Idaman, pada jam 12.10 tengahari dan seterusnya dibawa ke Masjid Al-Falah pada 12.25 tengahari untuk disembahyangkan.

Raja Mohammad Firdaus satu-satunya rakyat Malaysia yang bekerja di kapal korek didaftarkan di Bolivia, Oceanline SC208 itu.

Kapal berkenaan karam di 8.6 batu nautika timur Tanjung Punggai pada 4.20 pagi kelmarin, ketika dalam perjalanan dari Teluk Ramunia ke Pengerang.

Kejadian itu menyebabkan 14 kru kapal iaitu 13 warga China dan Raja Mohammad Firdaus hilang, manakala seorang lagi kru warga China berjaya diselamatkan kapal lain yang kebetulan melalui kawasan berkenaan.

myMetro 23 Mei 2015


Hadiah terakhir

Jenazah Raja Mohamad Firdaus dikebumikan di Tanah Perkuburan Pendamar, Klang.

Pelabuhan Klang: “Saya tidak sangka telefon pintar jenis Samsung Note 3 yang dihadiahkan pada hari lahir tahun lalu hadiah terakhir daripada abang Daus sebelum dia meninggalkan kami buat selama-lamanya,” kata adik bongsu kepada Raja Mohamad Firdaus Raja Ikram, 23, yang maut dalam nahas kapal korek Ocean Line SC208 yang terbalik dan hampir karam di perairan Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor pada Rabu lalu.

Raja Mohamad Hakeem, 14, berkata, dia menerima berita sedih itu daripada abang sulungnya, Raja Fuad, 30, selepas perkara itu disahkan polis, kelmarin.

“Pada mulanya saya sangat teruja menyambut kepulangan abang kerana pasti ada hadiah yang diberikan seperti tahun sebelumnya.

“Namun saya tidak sangka kepulangannya pada kali ini untuk disembahyangkan dan dikebumikan,” katanya yang baru saja menyambut hari lahir pada Jumaat lalu.

Menurut Raja Mohamad Hakeem, dia tidak menyangka perbualan mereka sekeluarga dengan arwah melalui telefon pada minggu lalu merupakan perbualan terakhir mereka.

“Saya ada menelefonnya pada minggu lalu untuk mengingatkan mengenai hari lahir saya dan dia meminta saya memberikan telefon kepada ibu dan kakak.

“Arwah sempat menyuruh kakak untuk mendahulukan duit bagi melakukan persiapan sambutan hari jadi saya,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Bagaimanapun Raja Mohamad Hakeem berkata, sambutan hari lahirnya kelmarin disambut secara ringkas.

Sementara itu, ibunya, Azizah Abu Aziz, 52, berkata, dia tidak menyangka kepulangan arwah ke rumah pada awal tahun lalu untuk bercuti selama empat bulan menjadi tempoh masa terakhir bersama.

“Dia pulang pada Januari lalu untuk menjaga ayahnya yang sakit dan kembali bekerja 25 April lalu,” katanya.

Menurutnya, arwah seorang anak yang baik dan sentiasa mengambil berat terhadap keluarga dan lima adik-beradiknya.

myMetro 24 Mei 2015


Mangsa kapal korek terbalik dikebumikan di Klang

Ibu mangsa menunjukkan gambar allahyarham Raja Mohammad Firdaus Raja Ikram

KLANG – “Kami reda dengan pemergiannya. Setelah tiga hari arwah hilang, akhirnya dia ‘kembali’ kepada kami”.

Demikian luahan Raja Fuad Raja Ikram, 30, selepas jenazah adiknya, Allahyarham Raja Mohammad Firdaus Raja Ikram, 23, yang merupakan mangsa kapal korek terbalik di Tanjung Punggai, Kota Tinggi, Johor, tiba untuk dikebumikan di kampung halamannya di sini.

Beliau yang merupakan abang sulung berkata, jenazah adik ketiganya itu ditemui pada pukul 3.45 kelmarin kira-kira 14 batu nautika daripada kawasan kejadian dan telah dibawa pulang pada tengah hari semalam.

Kosmo 24 Mei 2015


14 hilang 'ditelan' ombak

Johor Bahru: Seramai 14 kru dikhuatiri lemas selepas kapal dinaiki terbalik akibat dipukul ombak di 8.6 batu nautika Timur Tanjung Punggai, perairan Pengerang, Kota Tinggi, kira-kira 4.20 pagi hari ini.

Pengarah Operasi Daerah Maritim 7, Komander Maritim Mustafa Kamal Abas berkata, kapal yang berdaftar di Bolivia itu membawa 15 kru iaitu 14 warga China dan seorang rakyat tempatan selain usaha mencari dan menyelamat (SAR) kini giat dilaksanakan.

"Seorang kru kapal malang berkenaan berjaya diselamatkan oleh kru kapal berdekatan. Kapal berkenaan membawa muatan pasir dari Teluk Ramunia Offshore menghala ke perairan Penggerang.

"Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Daerah Maritim 7 (APMM) sudah mengarahkan sebuah kapal dan tiga bot untuk operasi SAR yang turut membabitkan Pasukan Gerakan Marin," katanya yang menerima aduan insiden terbabit menerusi pihak Johor Port.

Beliau berkata, misi SAR sedang giat dilaksanakan dengan bantuan pesawat udara APMM.

20 Mei 2015


Mayat pertama ditemui

Anggota pasukan SAR menemui mayat mangsa kapal korek Ocean Line yang terbalik.

Johor Bahru: Mayat seorang kru kapal korek Ocean Line SC208 yang terbalik dan hampir karam di perairan Tanjung Sedili, Kota Tinggi, pada Rabu lalu, dijumpai kira-kira 14 batu nautika dari lokasi nahas.

Pengarah Operasi Daerah Maritim Tanjung Sedili Komander Maritim Mustafa Kamal Abas berkata, mayat itu dijumpai hasil maklumat daripada sebuah kapal berhampiran yang memaklumkan mengenai penemuan itu jam 3.45 petang semalam.

“Satu mayat lelaki yang belum diketahui warga negaranya dijumpai dan selepas dimaklumkan kru kapal Kanata Spirit, kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di kawasan dinyatakan.

“Mayat berkenaan diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk dibawa ke Jeti Marina Tanjung Pengelih Kota Tinggi sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan untuk mencari 13 lagi mangsa yang masih hilang dan ditangguhkan pada 7 malam sebelum diteruskan semula pada 7 pagi esok.

Katanya, kawasan pencarian SAR diperluaskan ke 15 batu nautika ke utara dan timur dari lokasi nahas yang disertai oleh aset daripada APMM, TLDM dan Pasukan Polis Marin.

“Sebuah kapal dan dua bot APMM, selain pasukan penyelam TLDM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terbabit dalam misi ini,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan mengenai nasib 14 kru kapal korek berkenaan yang masih tidak diketahui selepas kapal dinaiki mereka terbalik dan hampir karam di perairan Beting Ramunia 8.6 batu nautika dari Tanjung Punggai Kota Tinggi, awal pagi kelmarin.

Harapan semakin tipis untuk memastikan baki 13 mangsa ditemui selamat berikutan anggota penyelam gagal menemui mana-mana mangsa sehingga operasi ditangguhkan semalam.

Akhbar melaporkan mangsa yang ditemui dipercayai menjerit meminta tolong sejurus kapal malang itu terbalik seperti diakui satu-satunya mangsa yang terselamat iaitu jurutera kapal, Li Guozheng, 51, seorang warga China.

myMetro 23 Mei 2015


Mayat kedua ditemui

Anggota APMM menguruskan mayat mangsa. FOTO ihsan APMM

Johor Bahru: Mayat mangsa kapal korek karam yang kedua ditemui di 9 batu nautika timur laut Tanjung Penawar, petang semalam.

Mayat mangsa itu ditemui pada 6.55 petang oleh nelayan pada jarak 9.3 batu nautika dari lokasi kapal terbabit karam.

Pengarah Operasi Daerah Maritim 7 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Komander Maritim Mustafa Kamal Abas berkata, kapal APMM sudah mengambil mayat terbabit dan dibawa ke Jeti Marina Tanjung Pengelih dekat sini, sebelum menyerahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan bagi mengesan 12 lagi kru kapal korek yang karam dalam kejadian di perairan Betting Ramunnia, 8.6 batu nautika dari Tanjung Punggai, Pengerang, Kota Tinggi.

Operasi bersepadu itu membabitkan beberapa agensi penguatkuasa termasuk Pasukan Polis Marin Wilayah Dua Johor, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Jabatan Laut.

myMetro 23 Mei 2015


Jumpa tiga mayat lagi

Johor Bahru: Tiga mayat mangsa nahas kapal korek terbalik di Kota Tinggi Rabu lalu, ditemui berhampiran pintu kapal berkenaan selepas pasukan penyelam berjaya membukanya, pagi tadi.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dimulakan kira-kira 6.30 pagi tadi membawa kepada penemuan tiga mayat itu selepas pasukan penyelam persendirian bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Handalan mula menyelam pada 7.35 pagi.

Pengarah Operasi Daerah Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mustafa Kamal Abas berkata, mayat yang dijumpai pada 8 pagi itu berada berhampiran pintu kapal korek berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, mayat mangsa itu masih berada di dalam kapal kerana mengalami masalah untuk dibawa naik.

"Ketiga-tiga mayat itu nanti akan dibawa ke Jetu Marina Tanjung Pengelih dekat sini, untuk tindakan selanjutnya," katanya.

myMetro 24 Mei 2015


Penyelam buka pintu

PASUKAN penyelam cuba menaikkan mayat mangsa kapal korek yang ditemui, semalam.

Johor Bahru: Pasukan penyelam yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) kapal korek Ocean Line SC208 yang karam di perairan Tanjung Sedili, Kota Tinggi, di sini, menemui dua lagi mayat mangsa.

Mayat mangsa yang belum dikenal pasti identiti itu ditemui kira-kira jam 8 pagi semalam, selepas pasukan penyelam membuka pintu kapal korek yang tenggelam dipukul ombak Rabu lalu.

Pengarah Operasi Daerah Maritim Tanjung Sedili Komander Maritim Mustafa Kamal Abas berkata, semua mayat itu ditemui berhampiran pintu kapal berkenaan selepas anggota penyelam berjaya membukanya.

“Penemuan terbaru itu menjadikan jumlah mayat mangsa nahas ditemui setakat ini empat mangsa.

“Operasi SAR disertai kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor akan diteruskan bagi mengesan 10 lagi mangsa yang hilang,” katanya.

myMetro 25 Mei 2015




0 comments:

Post a Comment